Cuti bersalin swasta 90 hari, nak apa lagi?

Dr Azman2

DI sektor swasta kami bayar cukai pendapatan. Kami bayar lesen pendaftaran klinik. Kami bayar KWSP dan Perkeso. Kami bayar Lesen Perakuan Amalan Tahunan. Kami bayar lesen Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Kami bayar syarikat perlupusan sisa klinikal. Kami bayar syarikat pembentungan. Kami bayar lesen premis kerajaan tempatan.

Advertisement

Kami juga beli barangan dan ubatan dengan GST. Belum dikira lagi pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan yang mari minta derma.

Setiap tahun datang Penguatkuasa Jabatan Kesihatan, Farmasi malah Jabatan Kastam pun turut bertandang. Ada ketikanya LHDN mencemar duli bertandang buat audit. Terbang lagi kertas kepala agong. Itulah kami sektor swasta.

Duit caruman KWSP yang dicarumkan oleh sektor swasta berkali ganda lebih banyak daripada caruman sektor awam. Duit kami di KWSP inilah yang digunakan untuk melabur sampai ke US.

Sektor swasta memang tulus dan ikhlas. Memberi tanpa memikirkan untuk menerima. Kita ditekan dan dipaksa untuk membayar itu dan ini demi pembangunan negara. Kita rela walaupun dipergunakan.

Biarlah orang lain sehinggakan Tok Batin pun tersenyum puas dapat bahagian masing-masing dalam Bajet 2018, kami di sektor swasta tak perlukan semua itu.

Perdana Menteri sudah sangat menghargai sektor swasta apabila cuti bersalin pekerja swasta dicadangkan supaya ditambah menjadi 90 hari. Nak apa lagi? – HARAKAHDAILY 29/10/2017