Tidak gemar ambil pendekatan popular

KERAJAAN Selangor tidak gemar mengambil pendekatan popular dalam melaksanakan sebarang tindakan, skim atau programnya.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, sebaliknya kerajaan negeri sentiasa mengutamakan perkara membawa manfaat langsung kepada rakyat.

Katanya, ia termasuk tindakan berpotensi kurang popular terhadap kerajaan negeri menjelang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Saya masih ingat lagi sekitar 2012 atau 2013, kerajaan negeri mengarahkan tindakan mahkamah diambil ke atas ratusan yang ingkar membayar wang pengurusan di pangsapuri.

“Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengingatkan saya bahawa PRU ke-13 sudah hampir, tetapi kita berpendirian tindakan perlu diambil agar tidak membebankan Badan Pengurusan Bersama (JMB),” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan JMB dan Badan Pengurusan (MC), di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, segala tindakan dan program kerajaan negeri juga tidak pernah mengenal warna dan latar belakang politik.

Katanya, program kebajikan dan projek pembangunan terus rancak dipacu kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran Selangor pada 2008, tanpa sebarang henti rehat.

“Sekarang ada pihak lain sedang rancak turun pangsapuri bagi pelbagai jenis bantuan, baguslah ambil sahaja kerana itu memang hak rakyat Selangor menyumbang hampir 25 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Tetapi pendekatan kita lain. Pangsapuri di Dengkil kawasan pembangkang pun menerima peruntukan tertinggi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) iaitu hampir RM2 juta,” katanya.