Bajet 2018, terbesar dalam sejarah

SESUNGGUHNYA Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkannya; Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” (Al-Isra’: 30)

Advertisement

Seperti dijangka, Bajet 2018 sarat dengan peruntukan yang sangat besar.

Sejumlah RM280 bilion diperuntukkan untuk kerajaan berbelanja pada tahun hadapan, meningkat 7 peratus berbanding RM260 bilion bagi tahun 2017.

Daripada jumlah tersebut, RM234 bilion akan dibelanjakan untuk tujuan mengurus, iaitu bagi membayar gaji penjawat awam, pencen kepada pesara, bayaran khidmat hutang, perbekalan dan subsidi kepada rakyat.

Manakala untuk tujuan pembangunan, sejumlah RM46 bilion akan dibelanjakan ke dalam sektor utama negara, iaitu bidang ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran.

Untuk menampung perbelanjaan yang besar ini, kerajaan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM240 bilion pada tahun 2018, disumbangkan oleh pungutan cukai langsung dan tidak langsung.

Natijahnya, kerajaan dijangka akan menanggung defisit mencecah RM40 bilion, atau 2.8 peratus kepada KDNK.

SyahirSulaimanDi sebalik angka besar yang dimuatkan di dalam Bajet 2018, terdapat beberapa aspek makro ekonomi yang perlu diberikan perhatian.

Pertama, bajet RM280 bilion ini merupakan rekod tertinggi perbelanjaan kerajaan sejak 60 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan.

Ini menunjukkan bahawa saiz kerajaan adalah semakin besar, dan kekal sebagai peneraju utama pertumbuhan ekonomi negara pada nisbah 20 peratus daripada KDNK, berbanding peranan pihak swasta dan pengguna dalam memacu pertumbuhan.

Kedua, kecenderungan kerajaan untuk berbelanja besar bagi tujuan mengurus, iaitu 83 peratus daripada keseluruhan bajet, menunjukkan kegagalan kerajaan untuk berjimat-cermat dan mengawal perbelanjaan.

Lebih membimbangkan, perbelanjaan pembangunan dikurangkan kepada 17 peratus daripada keseluruhan bajet, jauh di bawah nisbah optima 30 peratus yang disarankan kebanyakan pakar ekonomi. Ini menunjukkan kerajaan lebih mengutamakan kehendak untuk berbelanja sekarang, berbanding menyimpan dan melabur bagi memenuhi keperluan di masa hadapan.

Ketiga, hasil cukai yang mewakili 80 peratus daripada jumlah hasil mencecah RM191 bilion, kekal sebagai penyumbang utama pendapatan kerajaan.

Ini disumbangkan oleh peningkatan kutipan daripada cukai pendapatan syarikat, individu dan petroleum mencecah RM127 billion, di samping kutipan cukai tidak langsung seperti GST mencecah RM43 bilion dan pelbagai cukai yang lain.

Keempat, kegagalan kerajaan untuk berjimat-cermat dibuktikan apabila jumlah perbelanjaan mengurus sudah menghampiri jumlah hasil kerajaan, iaitu 97 peratus atau RM234 bilion berbanding RM240 billion.

Ini bermakna, setiap hasil yang dipungut kerajaan hanya cukup untuk menampung kos pengurusan kerajaan, dan jika situasi ini berterusan, tidak mustahil kerajaan terpaksa meminjam untuk menampungnya.

Kelima, bajet defisit pada tahun 2018 adalah rekod kegagalan kerajaan untuk mempunyai lebihan dan simpanan selama 20 tahun sejak 1998.

Tidak dinafikan bajet defisit adalah sebahagian daripada instrumen polisi untuk merangsang ekonomi negara. Namun defisit yang berterusan ini pastinya menuntut kepada etika kewangan dan disiplin fiskal yang lebih tinggi di pihak kerajaan. – HARAKAHDAILY 30/10/2017

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM