Bajet untuk semua pengundi

BAJET 2018 ternyata penuh dengan tawaran untuk menghadapi pilihan raya.

Advertisement

Setiap peruntukan dan projek yang diumumkan, dilihat mensasarkan untuk menarik sokongan rakyat terhadap kerajaan, khususnya segmen pengundi atas pagar.

Sejumlah RM12 bilion diperuntukkan untuk meningkatkan pendapatan boleh guna kepada segmen pertengahan (M40) dan bawahan (B40), melibatkan pemberian BR1M, pemotongan cukai pendapatan, di samping pelbagai pemberian kebajikan khas yang lain.

Antara peruntukan terarah (targeted allocation) yang diberi kepada golongan pertengahan adalah pemotongan 2% cukai pendapatan, bonus kepada penjawat awam, pemberian diskaun PTPTN, serta penghapusan tol di Selangor, Kedah dan Johor yang bakal menyaksikan persaingan sengit di dalam pilihan raya akan datang.

Di samping itu, sejumlah RM2.2 bilion diperuntukkan untuk membina 385,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara, di samping 139,393 unit rumah PR1MA yang sedang dalam pembinaan dan 8,475 yang telah siap dibina, di bandar mahupun di luar bandar.

Ini bertujuan untuk mewujudkan ‘feel-good factor’ di kalangan segmen pertengahan, yang paling terbeban dengan pelaksanaan GST dan kenaikan kos sara hidup.

Manakala bantuan khas seperti BR1M, yang akan memanfaatkan hampir 7 juta penerima, mempunyai agenda tersendiri untuk mewujudkan ‘feel-good factor’ di kalangan segmen bawahan. Dengan jumlah penerima yang terus meningkat dan mencecah lebih 55% daripada jumlah pengundi berdaftar, ia suatu ‘deposit undi’ yang sangat signifikan bagi pihak Kerajaan.

Ditambah pula dengan pelbagai pemberian kebajikan kepada golongan miskin, OKU, peneroka Felda, pesara kerajaan, petani, pesawah padi, nelayan dan Orang Asli, ianya akan memanfaatkan jutaan penerima yang kebanyakan berada di luar bandar.

Kesemua peruntukan ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan bebanan sara hidup rakyat, dan secara tidak langsung akan membentuk segolongan masyarakat yang terhutang budi dan berterima kasih kepada kerajaan.

Ini kerana penurunan cukai dan pemberian bantuan kepada kumpulan sasar akan mewujudkan sentimen positif di kalangan rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi, seterusnya menyumbang kepada kenaikan sokongan dan peralihan undi terhadap kerajaan.

Justeru melihat kepada corak belanjawan yang digelar sebagai ‘ibu segala bajet’ ini, jelas bahawa ‘ibu segala pilihan raya’ bakal berlangsung dalam masa terdekat.

Di sinilah pentingnya kebijaksanaan rakyat dalam menilai bajet yang dipersembahkan sebelum pilihan raya, yang kebiasaannya bersifat manis untuk sementara.

Syahir Sulaiman
Pengarah Strategi DPPM
30 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 30/10/2017