2 Nov (1917 – 2017): 100 tahun tragedi Deklarasi Balfour

KITA masih lagi terkesan dengan fitnah penjajahan. Sebelum jatuhnya Khilafah Uthmaniyyah secara rasmi pada 3 Mac 1924, terdapat beberapa peristiwa penting yang mendorong kepada penubuhan negara haram Israel. Antaranya adalah Deklarasi Balfour, yang menjadi pintu masuk secara rasmi kepada Yahudi Zionis untuk menceroboh Baitul Maqdis.
 
Rentetan Dari Sykes Picot
 
British memainkan peranan yang cukup penting untuk melemahkan Khilafah Uthmaniyyah. Antaranya dengan menyuntik adu domba kepada pembesar-pembesar dunia Arab agar meledakkan pemberontakan menentang Khilafah Uthmaniyyah. Meniup sentimen Arab lawan Turki. Maka tercetuslah Revolusi Agung Arab. Mereka bodoh kerana termakan janji palsu British yang kononnya akan mengiktiraf mereka sebagai khilafah baharu.
 
Setelah itu, termeterailah Perjanjian Sykes Picot antara British dan Perancis pada 16 Mei 1916. Akibatnya wilayah-wilayah Islam dibahagi-bahagikan oleh mereka. Maka terlakarlah peta baharu. British menguasai Jordan, Palestin dan Iraq. Sementara Perancis menguasai Lubnan dan Syria.
 
British yang menguasai Palestin telah merangka rancangan untuk menempatkan Yahudi Zionis di Palestin, sebagai batu asas penubuhan negara haram Israel.
 
Deklarasi Balfour
 
Setahun selepas termeterainya perjanjian Sykes Picot, maka berlangsunglah operasi memindahkan Yahudi Zionis dari Eropah ke Palestin.
 
Pada 2 November 1917, Menteri Luar British bernama James Arthur Balfour telah menulis deklarasi yang menampakkan siapa ‘tuan’ sebenar British. Ia dialamatkan kepada Lord Rothschild, pelobi Zionis yang cukup berpengaruh hingga kini.
 
Isi Kandungan Deklarasi
 
Kementerian Luar Negara,
2 November 1917,
 
“Yang Terhormat Lord Rothschild,
 
Saya sangat bahagia mewakili pemerintah (British) untuk menyampaikan rasa simpati terhadap cita-cita Yahudi Zionis. Aspirasi ini telah dikemukakan kepada kabinet dan dipersetujui.
 
Bahawa pemerintah (British) memberi perhatian dengan penuh simpati untuk mendirikan tanah air nasional bagi Yahudi di Palestin. Pemerintah (British) akan berusaha sehabis baik demi merealisasikan cita-cita ini. Namun perlu dijelaskan bahawa tiada sebarang tindakan prejudis ke atas golongan selain Yahudi yang sedia ada di Palestin. Begitu juga tidak melibatkan hak dan status politik bagi Yahudi yang berada di negara-negara lain.
 
Saya amat berterima kasih jika tuan memaklumkan kenyataan ini kepada gerakan Zionis”
 
Arthur Balfour.
 
Batu Asas Negara Haram Israel
 
Dari deklarasi tersebut, British membuka pintu seluasnya kepada Yahudi Zionis dari Eropah untuk mendarat ke pantai Palestin. Mereka menari keriangan, meraikan betapa cerahnya cita-cita yang selama ini diidamkan.
 
Pada 1922, PBB mengiktiraf inisiatif British. Pada tahun yang sama juga, Amerika mengisytiharkan dukungan penuh terhadap Deklarasi Balfour.
 
Yahudi Zionis pantas mendirikan badan ekonomi, politik, pendidikan, sosial bahkan militan. Ia dijayakan dengan bantuan British. Sememangnya mereka telah mensasarkan bahawa 30 tahun selepas itu akan berdirinya negara berdaulat bagi Yahudi Zionis.
 
Pada 29 November 1947, PBB mengeluarkan keputusan pembahagian tanah Palestin kepada 54 peratus untuk Yahudi, 45 peratus untuk Arab dan 1 peratus untuk internasional. Maka pada 14 Mei 1948, negara haram Israel diisytiharkan, Arab berputih mata. 
 
Mengapa Palestin?
 
Sesungguhnya kita dan mereka tahu, bahawa sesiapa yang menguasai Baitul Maqdis pasti akan menguasai dunia. Sejarah Bani Israel ketika mereka masih Islam dahulu, cukup membuktikan bahawa Baitul Maqdis merupakan kunci penguasaan dunia.
 
Mereka cukup terinspirasi dengan zaman emas Bani Israel yang mengukir sejarah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman sebagai penguasa dunia yang tidak terkalahkan. Mereka menyangka boleh mengulangi zaman tersebut sedangkan mereka telah kafir. Hakikatnya mereka sudah tidak sejalan dengan dua Nabi penguasa dunia tersebut.
 
Yang perlu disedari, kelayakan menakluk Baitul Maqdis telah diserahkan kepada umat Muhammad melalui peristiwa Isra’. Namun, perebutan Palestin antara agama langit pasti akan berpanjangan bahkan ia adalah sebahagian dari fenomena fitnah akhir zaman.
 
Neo Balfour?
 
Jika dahulu, mereka melakar peta Asia Barat melalui perjanjian Sykes Picot. Kini, projek pemetaan baharu Asia Barat rancak dijalankan. Bermula dengan kempen Islamphobia 11/9 kemudian pencerobohan AS ke atas Iraq. 
 
Seterusnya projek Arab Spring yang mencetuskan perang saudara. Sentimen Arab lawan Kurdish lawan Turki dimainkan. Malah polemik mazhab antara Sunni-Syiah, Salafi-Khalafi menjadi belerang yang membakar perang saudara di Asia Barat. Ini semua adalah plot ke arah pemetaan baharu Asia Barat seperti yang telah dirangka oleh Bernard Lewis.
 
Hasilnya Israel semakin selesa, sementara Palestin semakin tersepit. HAMAS sedang didorong untuk mengiktiraf negara haram Israel secara politik. Negara-negara Arab sekililing tumpang sekaki membuli Palestin.
 
Zionis sedang bersiap meluaskan kuasa yang disebut-sebut sebagai Israel Raya. Saat ini, sedang diusahakan penubuhan negara baharu sebagai proksi Israel. Ia adalah Kurdistan merdeka. Kedudukannya cukup strategik berada di tengah-tengah antara Iraq, Syria dan Turki.
 
Dari posisi itu, mereka bakal menguasai sungai Tigris dan Furat yang menjadi nadi kehidupan di rantau tersebut. Pada masa yang sama, negara pro Israel iaitu Eutophia sedang membina empangan Renaissance dengan bantuan IMF di hulu sungai Nil. Sekali imbas, menyedarkan kita bahawa kuasa Zionis sedang menguasai sumber air di lokasi yang dikaitkan dengan fitnah akhir zaman.
 
100 Tahun Yang Mendebarkan
 
Nabi telah berpesan:
 
Sesungguhnya Allah pasti mengutuskan bagi setiap kemuncak 100 tahun, sesiapa yang akan memperbaharui (memperbaiki, memulihkan) agama bagi umatnya” – (HR Abu Daud)
 
Jika dihitung, umat Islam telah dijajah sepenuhnya oleh kuasa taghut mencecah 100 tahun. Nabi telah berjanji bahawa umatnya tidak akan dibiarkan rosak dan dibuli lebih dari 100 tahun.
 
Oleh kerana itu politik dunia mutakhir ini kacau bilau. Barangkali mereka sedang berkejar cuba memintas janji Allah. Sedangkan ia pasti gagal. Inilah saatnya, pertembungan antara haq dan batil mungkin sedang menuju ke kemuncaknya. Sejarah zaman berzaman, kebatilan akan hancur ketika berada di klimak kebatilannya. Manakala kebenaran akan menang ketika sedang ditekan ke tahap maksimum.
 
Di Manakah Kita?
 
Persoalannya jika kita berada di saat Furqan itu, adakah kita sedang bersama dengan kelompok yang mendukung Islam yang tulen, atau kita tergamak bersama dengan petualang kepada ajaran Tuhan? – HARAKAHDAILY 31/10/2017
Advertisement