Pembalakan punca banjir di Ulu Mahang

KULIM BANDAR BARU: Kerajaan negeri digesa agar mengawal dan memantau aktiviti pembalakan di Gunung Inas berikutan kesan dari pembalakan berkenaan menyebabkan berlakunya banjir lumpur di Kampung Ulu Mahang, Karangan, pada 28 Oktober lalu.

Advertisement

Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim Bandar Baru, Ustaz Mohd Khairi Mohd Salleh berkata, aktiviti pembalakan yang dilihat seolah-olah tidak dipantau itu telah memberi kesan kepada kampung berkenaan, walaupun sebelum ini tidak pernah dilanda banjir kilat kerana kawasannya agak tinggi.

“Akibat aktiviti pembalakan gondol(cuci mangkuk) itu mengakibatkan air lumpur dari kawasan pembalakan mengalir laju tanpa halangan ke sungai dan seterusnya memasuki kawasan kampung berdekatan apabila berlaku hujan lebat,” ujar beliau.

Jelasnya, kesan berkenaan menjadi bertambah ketara kerana aktiviti kuari pasir di Sungai Karangan menjadikan sungai terbabit semakin cetek.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri perlu mengkaji semula syarat perlesenan agar perkara seumpama itu tidak berlaku dan tidak hanya memikirkan keuntungan sehingga membawa padah serta kemudaratan kepada penduduk.

Banjir lumpur itu juga dikatakan melimpah ke kawasan sawah padi berdekatan dan mengakibatkan dipenuhi dengan lumpur merah.

“Penduduk sudah pun meminta agar aktiviti pembalakan dan kuari pasir itu diberhentikan dan mendapat sokongan dari CAP, SAM dan pensyarah UTM, Prof.Maketab Mohamad, namun ia diteruskan juga sehingga hasilnya penduduk kampung yang menimpa musibah.

“Malah, lebih dikesali, tak kira pokok besar atau kecil semuanya ditebang,” luah beliau lagi.

Justeru itu katanya, dakwaan kononnya “BN Menang Kedah Senang” sememangnya langsung tidak menjadi realiti kepada rakyat bawahan terutama masyarakat kampung.

Sebaliknya ujar beliau, mereka terpaksa menanggung kesan akibat kerakusan sesetengah pihak yang mengutamakan keuntungan semata-mata.

Sementara itu, Yang DiPertua PAS Kawasan Kulim Bandar Baru, Ustaz Abd Rahman Abd Razak, turun padang meninjau keadaan tujuh buah rumah yang dilanda banjir lumpur berkenaan, semalam.

Di samping menyampaikan sedikit sumbangan barangan keperluan, Jabatan Amal Kawasan terbabit juga membantu membersihkan rumah-rumah yang terlibat.-HARAKAHDAILY 30/10/2017