Bajet 2018: Pastikan tiada ketirisan

DEWAN Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa pihak kerajaan untuk meneliti dan memantau secara telus dan terperinci setiap projek yang dilaksanakan agar tiada ketirisan berlaku dalam setiap perbelanjaan projek yang dilaksanakan.

Advertisement

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, pihaknya sangat tegas dan tidak bertoleransi dengan amalan rasuah, ketirisan belanjawan dan penyelewangan dana kerana yakin perolehan dana kerajaan adalah hak rakyat Malaysia.

Bagaimanapun pihak pembangkang perlu juga menyokong intipati bajet yang memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia.

Sebagai contoh, katanya, Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) diperkenalkan dengan memberi dana tabungan permulaan sebanyak RM200 melalui unit Amanah Saham Pemodalan Nasional Berhad (PNB) kepada semua anak Malaysia yang lahir mulai 1 Januari 2018 sehingga 2022.

“Ini bertepatan dengan prinsip Parti Ikatan, di mana semua kaum di Malaysia merupakan cerminan satu bangsa anak Malaysia tanpa mengira warna kulit,” ujarnya.   

Pada masa yang sama, Dewan Pemuda Ikatan Malaysia menyokong usul-usul yang membawa kepada pembangunan dan pemodenan di kawasan luar bandar.

Antara contoh yang paling jelas katanya, memperbesarkan serta memodenkan Lapangan Terbang Kota Bharu dan Sandakan.

“Sudah tiba masanya lapangan terbang negeri di tranformasikan menjadi lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

“Pada masa yang sama, pembinaan projek di luar bandar seperti East Coast Rail Link (ECRL) yang menghubungkan Pelabuhan Klang ke Kelantan akan mencorakkan ekonomi di negeri-negeri terbabit,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 31/10/2017