Catatan khas perbahasan ahli parlimen PAS di Dewan Rakyat

BEBERAPA isu negara mendapat perhatian ahli parlimen PAS sepanjang sesi persidangan kali ini, termasuklah kes yang membabitkan kematian dua anggota TLDM.

Advertisement

Cadangan kerajaan tubuh syarikat punyai konflik kepentingan

Cadangan kerajaan menubuhkan syarikat bagi menjaga kepentingan harta intelek dilihat mempunyai konflik kepentingan tertentu.

Konflik kepentingan itu dilihat apabila sesebuah syarikat yang ditubuhkan itu juga bakal menjana pendapatan hasil pendaftaran paten pengusaha-pengusaha berkaitan.

Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) berkata, biarpun tujuannya baik iaitu menjaga kepentingan pengusaha yang mencipta produk sendiri, tetap kelihatan kepentingan syarikat itu sendiri.

“Saya perhatikan dalam semua perbahasan pada hari ini betapa kita semua bersetuju bahawa harta intelek perlu dijaga, kepentingannya perlu dengan semua memberi contoh-contoh.

“Tetapi persoalan yang secara spesifiknya, adakah perlu ditubuhkan syarikat yang mempunyai ‘conflict of interest’? soal Izani, di Dewan Rakyat, 25 Oktober lalu.

Beliau membangkitkan persoalan itu ketika mencelah perbahasan Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai Rang Undang-Undang Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Pindaan) 2017.

Menjawab soalan itu, Noor Azmi berkata, menjana pendapatan untuk menjalankan aktiviti itu bukanlah merupakan satu kesalahan.

Justeru, beliau mengharapkan pihak kementerian memberikan penjelasan terperinci bagaimana sesebuah syarikat itu menjana sesuatu pendapatan.

Isu pencerobohan nelayan asing terus dibangkitkan PAS

Isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara yang sering berlaku, khususnya di perairan Terengganu mendapat perhatian PAS.

Apatah lagi, isu berkenaan berlanjutan saban tahun dan dilihat tiada sebarang tindakan diambil kerajaan bagi menanganinya secara berkesan.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) berkata, isu berkaitan pencerobohan ini bukanlah isu baru, sebaliknya saban tahun menjadi rungutan para nelayan tempatan.

“Dalam kajian atau dapatan yang mungkin telah diperoleh Yang Berhormat Kuala Selangor selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), bolehkah nelayan mengetahui perkara sebenar yang berlaku?” soal beliau ketika mencelah perbahasan Dato’ Sri Dr Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor), pada persidangan Dewan Rakyat, 25 Oktober lalu.

Menjawab pertanyaan itu, Irmohizam berkata, pihaknya juga berpandangan bahawa kerajaan perlu memberikan mesej yang jelas kepada nelayan-nelayan asing yang menceroboh perairan negara ini.

“Hal ini kerana di peringkat Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), saya dimaklumkan di perairan kawasan Kelantan, Terengganu sampailah ke Johor, hanya satu kapal perang yang digunakan untuk mengawal seluruh perairan.

“Jadi pada hemat saya, dengan jumlah kerugian RM3 bilion sehingga RM6 bilion, saya mengharapkan supaya bukan hanya TLDM, tetapi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga harus ditambah aset-aset ini,” kata beliau lagi.

Kematian dua anggota TLDM bimbangkan ibu bapa

Kes kematian yang berlaku terhadap dua orang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Ipoh baru-baru ini menimbulkan kebimbangan dan ketidakyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menjadi tentera.

Ahli Parlimen Rantau panjang, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof berkata, perkara tersebut merupakan satu perkara yang akan menjadi ‘fenomena’ yang sangat besar sekiranya tidak ditangani secara berkesan.

Menurutnya, kejadian yang berlaku pada 29 September lalu cukup menyayat hati dan salah seorang mangsa merupakan rakyat dan jiran beliau sendiri, sehingga menyebabkan keluarga mangsa begitu tertekan dan sedih.

“Kematian Nik Muhammad Baihaqi dan Muhammad Lailatul Iman akibat pendarahan paru-paru yang dipercayai akibat didera dan dua lagi anggota lain yang cedera.

“Ini adalah satu perkara yang menyebabkan satu kegerunan dan menimbulkan satu ketidakyakinan terutama dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menjadi anggota tentera di masa akan datang,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat, 26 Oktober lalu.

Sehubungan itu beliau meminta Kementerian Pertahanan menjelaskan apakah kelemahan-kelemahan yang telah dikenal pasti dalam Prosedur Operasi Standart (SOP) latihan ketenteraan.

Beliau juga mengemukakan pertanyaan, apakah penambahbaikan yang akan dibuat dan setakat ini apakah bantuan-bantuan yang telah diberi kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Menjawab soalan yang dikemukakannya itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohd Johari Baharum berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa pemantauan untuk melakukan siasatan.

Bagaimanapun, katanya, belum lagi dapat dipastikan kejadian tersebut melanggar SOP kerana masih di dalam siasatan.

Tambahnya, berkenaan dengan bantuan seperti khairat kematian, pengurusan jenazah telah diuruskan dan duit khairat kematian telah dilaksanakan.

Beliau berkata, Allahyarham Nik Muhammad Baihaqi akan menerima lebih kurang RM113 ribu dan Muhammad Lailatul Iman akan menerima lebih kurang RM81 ribu tuntutan daripada hak-hak yang sepatutnya dibayar.

Terdahulu, Ustazah Siti Zailah dalam soalan asalnya meminta Menteri Pertahanan menyatakan apakah hasil laporan kes kematian dua orang tentera TLDM di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi Ipoh dan apakah langkah yang diambil bagi mengelakkan kes sebegini berulang.

PAS persoal peranan Majlis Penasihat Harga

Peranan Majlis Penasihat Harga (MPH) dipersoalkan PAS apabila saban hari kos sara hidup di negara ini semakin meningkat dan membebankan rakyat.

Ustaz Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang) berkata, biarpun negara baharu sahaja dibentangkan dengan Bajet 2018, rakyat menunggu langkah-langkah konstruktif dari kerajaan bagi menangani isu harga barangan yang melambung.

Menurutnya, kita bayangkan hari ini kos untuk membeli ikan kembung pun sudah meningkat sehingga sampai RM18 sekilo, kerang pun sudah meningkat sampai RM12 sekilo.

“Jadi persoalan saya ialah berkenaan dengan peranan yang dimainkan majlis itu adakah mengikut matlamat penubuhannya?” soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, 30 Oktober lalu.

Malah, Ustaz Idris turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan majlis tersebut untuk menasihati menteri dan kerajaan dalam isu-isu kepenggunaan.

Menjawab soalan berkenaan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, apa yang dilakukan di kementerian bukan hanya menerima nasihat daripada majlis yang ditubuhkan ini, tetapi ia adalah merupakan satu jawatankuasa peringkat lebih tinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sebab itu dalam bajet yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri sendiri, banyak isu-isu untuk menangani kos sara hidup ini telah pun diperbincangkan dan telah diluluskan,” kata beliau.

Sebelum itu, dalam soalan asalnya, Ustaz Idris yang juga Naib Presiden PAS meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyatakan, apakah fungsi Majlis Penasihat Harga dan berapa kali Majlis ini mengadakan mesyuarat sepanjang tahun 2017 untuk membincangkan kemelut kenaikan harga barang yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang amat dirasai oleh rakyat berpendapatan rendah.

Hamzah berkata, MPH ditubuhkan untuk menasihati menteri mengenai isu-isu yang berhubungan dengan pencatutan dan apa-apa perkara lain yang berhubungan dengan harga barangan dan caj perkhidmatan.

Katanya, pada 2017, isu berhubung fungsi dan peranannya telah dibincangkan secara bersepadu di dalam Jawatankuasa Khas menangani kos sara hidup yang dipengerusikan Zahid. – HARAKAHDAILY 31/10/2017