M-Bajet 2018: Penelitian DPPM (Siri Pertama)

KONSEP dan elemen Maqasid asSyari’ah yang mendasari perancangan Bajet 2018 adalah tindakan yang betul. Walau bagaimanapun, bagi mencapai Maqasid asSyari’ah tersebut, hukum hakam Syari’ah perlu juga dilaksanakan tanpa bersikap elektif dan pragmatis. Contohnya, komitmen untuk menghapuskan riba’ dalam sistem kewangan, pembanterasan rasuah dan industri dosa, pengecualian cukai terhadap golongan fakir miskin, pengagihan ekonomi secara adil, mengelak penyalahgunaan serta pembaziran peruntukan. Sekiranya hukum-hakam ini dilaksanakan, barulah Maqasid asSyari’ah yang digariskan mampu dikecapi seterusnya mengundang keberkatan Allah ke atas masyarakat dan negara ini.
 
Pembentangan perancangan Bajet 2018 dan Laporan Ekonomi 2017/2018 yang telah dikemukakan beberapa hari lalu mengundang pelbagai reaksi daripada lapisan masyarakat. Berdasarkan aspek makro, terdapat beberapa perkara yang boleh diteliti dan dipersoalkan.
 
Pertama, anggaran hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperolehi oleh kerajaan telah menjangkau lebih dua kali ganda pada tahun 2017 berbanding kutipan pertama pada tahun 2015. Dianggarkan Kerajaan Persekutuan akan memperoleh sejumlah RM41.5 bilion hasil daripada GST, manakala pada tahun 2018 pula dianggarkan mencecah sehingga RM43.8 bilion. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan turut memperoleh peningkatan yang ketara dalam hasil cukai langsung daripada cukai pendapatan individu, syarikat dan petroleum dari tahun 2015 hingga 2017. Namun, kerajaan langsung tidak mempunyai iltizam untuk mengurangkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada kadar semasa walaupun hal ini banyak diminta oleh rakyat sebelum pembentangan bajet yang lalu.
 
Kedua, perbelanjaan mengurus Kerajaan Persekutuan sepanjang kepimpinan Perdana Menteri menunjukkan kadar peratusan kenaikan yang lebih tinggi dari tahun 2009 hingga tahun 2017. Jumlah perbelanjaan mengurus pada tahun 2009 adalah RM163.9 bilion, manakala pada tahun 2017 adalah RM219.9 bilion dan seterusnya dianggarkan kepada RM234.25 bilion pada tahun 2018. Trend ini menunjukkan sejak dari tahun 2009 hingga 2018, Kerajaan Persekutuan lebih cenderung memperuntukkan sehingga 80 peratus daripada bajet untuk perbelanjaan mengurus. Kadar peningkatan yang ketara ini banyak disumbangkan oleh emolumen dan bayaran khidmat hutang. Mungkin sukar untuk menolak keperluan emolumen yang tinggi, tetapi perlu dikaji semula pengambilan hutang yang keterlaluan.
 
Ketiga, sejak dari tahun 2009 hingga 2017, konsolidasi hutang Kerajaan Persekutuan terus mencatatkan peningkatan yang tinggi sehingga hampir mencecah paras kritikal 55 peratus daripada KDNK. Selain itu, hal paling penting untuk diberikan perhatian adalah terbitan hutang-hutang Kerajaan Persekutuan dalam negeri yang berjumlah RM 662.35 bilion dan sebahagian besar daripadanya adalah Sekuriti Kerajaan Malaysia yang dipegang oleh pemilik asing. Jumlah jaminan yang telah diberikan oleh kerajaan sehingga akhir tahun 2015 adalah sebanyak RM177.7 bilion. Sekiranya hal ini tidak terus dikawal, implikasinya nanti, Kerajaan Persekutuan terpaksa mengambil konglomerat dari luar seperti China untuk membangunkan sepenuhnya infrastruktur negara.  
 
Umum mengetahui Bajet 2018 adalah prelude Pilihan Raya Umum Ke-14. Selain cash handouts (bonus, BR1M) yang masih dikekalkan, rakyat turut memperolehi manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan individu (RM20,000- RM70,000) sehingga menatijahkan kira-kira 261,000 yang dikecualikan daripada pembayaran cukai.  Walau bagaimanapun, terdapat satu segmentasi masyarakat yang boleh diberikan perhatian adalah golongan pekerja swasta yang telah ditamatkan perkhidmatan (retrenched workers) akibat daripada kegawatan bisnes dan ekonomi. Berdasarkan laporan daripada Jabatan Buruh, seramai 17,798 pekerja yang telah diberhentikan sehingga bulan Julai 2017 tidak termasuk lebih 45,000 orang lagi pada tahun 2016. Majoriti daripadanya adalah dalam lingkungan umur 30 hingga 40 tahun.
 
Selain itu, kebimbangan yang wujud juga adalah nasib pekerja swasta khususnya yang tidak mempunyai perancangan berhemah untuk pelan persaraan. Berdasarkan statistik daripada KWSP pada pertengahan tahun lalu, hanya 22 peratus daripada 6.7 juta pencarum yang berusia 54 tahun mempunyai kira-kira RM198,000 duit persaraan sahaja. Tambahan pula, satu kajian survei yang dilakukan oleh pihak INTI University and Colleges melaporkan 66 peratus daripada 300 orang responden yang bekerja sebagai freelancers langsung tidak mempunyai dana persaraan, manakala 55 peratus pula tidak mempunyai dana simpanan. Perancangan kewangan peribadi seperti ini perlu sangat dititik beratkan untuk mengelakkan masalah pada masa akan datang.   
 
IR HJ KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 31/10/2017
Advertisement