Rohingya: Semakin hari, makin bertambah payahnya

BERPELUANG menyertai Misi Bantuan Kemanusian PASRelief pada 8 – 12 Oktober lalu adalah pengalaman amat bermakna dan menginsafkan. Itulah detik dapat menyantuni etnik Rohingya yang berlindung di kem-kem pelarian berhampiran bandar pelancongan, Cox’s Bazar, Bangladesh.
 
Hari pertama menjejakkan kaki di kem, mata ini sudah menjadi saksi melihat segerombolan manusia dengan penuh kepayahan dan air mata berjaya tiba di bumi Bangladesh. 
 
Raut wajah mereka penuh kepenatan dan longlai tidak bermaya. Tubuh yang layu direbahkan, melepaskan segala lelah di tepi jalan, tanpa dipeduli lagi terik mentari yang memanah. 
 
Kerana mengharungi bukit bukau, sungai dan lembah untuk perjalanan tiga hari empat malam, sebelum sampai ke tempat permukiman sementara ini.
 
Hampir tiada perkataan untuk digambarkan, betapa deritanya liku onak duri yang ditempuh. Diasak dan diekori junta tentera supaya berambus meninggalkan negeri.
 
Hanya tangan mampu ditadah, mengharap belas simpati masyarakat yang lalu-lalang. Biarpun tiba sehelai sepinggang tanpa sebarang bekal, namun, selamat dari muncung senjata sudah cukup bermakna untuk mereka.
 
Ada yang terbaring kepenatan terutama orang tua, wanita mengendong anak kecil dan kanak-kanak berjalan mundar-mandir mencari jajan.
 
Majoriti masih terpingga-pingga, kebingungan seolahnya tidak percaya kaki mereka tiba di situ. Rupanya ada ‘dunia luar’ untuk berpijak aman dan bebas dari cengkaman kezaliman junta Myanmar serta pelampau Buddha.
 
Walaupun belum mempunyai penempatan sementara untuk menumpang teduh, namun di wajah mereka terpancar sinar untuk hari muka.
 
Jelas sekali, petang yang semakin merangkak kepada senja dan malam bakal mereka lalui, beratapkan bulan dan bintang serta berlantaikan tanah, cukuplah untuk mereka bertahan sehari dua.
 
Ratusan ribu lagi hanya mampu berlindung di bawah rimbunan pokok di sebalik semak samun di dalam hutan berhampiran.
 
Semenjak krisis memuncak Ogos lalu, pelarian kini mula beransur-ansur memenuhi beberapa kem yang hanya terletak beberapa kilometer di luar sempadan Myanmar.
 
Keadaan di kem-kem pelarian cukup daif, sesak dengan manusia dan langsung tanpa keperluan asas terutamanya air bersih. Sukar lagi untuk menampung kemasukkan pelarian yang tidak putus-putus tiba.
 
Antara pelarian yang sempat disantuni adalah seorang wanita muda dalam lingkungan 30-an. Asyik meriba anak kecilnya yang terlelap kelaparan.
 
Fatima (gambar) ibu yang kurus kering, menangis tersedu-sedu kesedihan apabila diacah berbicara. Sempat menitipkan kisah si suami yang tewas dimuncung senapang askar rejim di kampung halaman.
 
Rasa sebak sempit di dada usah dicerita, derita Fatima dan si anak hanya Allah yang Maha Mengetahui peritnya.
 
Begitulah secebis pengalaman menginsafkan, menjejakkan kaki  memasuki Kem Kutupalong, Balukhali dan Theinkali yang saban hari menerima ribuan etnik Rohingya dengan seribu satu kisah duka.
 
Syabas juga kepada PASRelief yang bersungguh-sungguh mengumpul dana kewangan dari masyarakat Malaysia untuk membantu Muslim Rohingya yang menjadi kini bergelar pelarian di bumi Bangladesh.
 
Insya-Allah, pada 12-17 November ini, PASRelief akan ke kem-kem pelarian yang menempatkan mangsa penghapusan etnik atau ‘genocide’ ini untuk sekali lagi menyerahkan sumbangan dari rakyat Malaysia.
 
Sumbangan tuan puan boleh disalurkan terus ke Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PASRelief (5640 7061 1352 – Maybank). – HARAKAHDAILY 1/11/2017
Advertisement