Atasi segera masalah air di Sabah

aminudin aling

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah meminta supaya kerajaan mengatasi segera masalah air yang dihadapi rakyat di pelbagai tempat dan peringkat.

Advertisement

Sejak kebelakangan ini Pusat Aduan Rakyat (PAR) yang ditubuhkan PAS Sabah di peringkat kawasan menerima aduan bukan hanya dari kawasan luar bandar tetapi juga kawasan bandar khususnya sekitar Kota Kinabalu.

Tiga kawasan yang menerima banyak aduan iaitu Kota Belud, Kudat dan Sepanggar. Bagi kawasan Kota Belud aduan banyak diterima khususnya selepas gempa bumi pada tahun 2015. Pun begitu sehingga kini masih banyak kawasan yang mengalami masalah bekalan air.

Masalah air yang paling menyedihkan adalah di kawasan Pitas. Aduan yang diterima menggambarkan bahawa masalah air tidak pernah selesai. Mereka tidak pernah mendapat bekalan air yang sempurna.

Mutakhir ini sebahagian masyarakat bandar juga dihantui masalah air. Mutakhir ini PAS Kawasan Sepanggar menerima banyak aduan khususnya bagi Taman Perumahan Bandar Sierra, Taman Rimba dan Taman Putera Jaya.

PAS Sabah berasa amat pelik dan hairan terhadap masalah asas yang dihadapi ini. Selepas 54 tahun merdeka, dalam sebuah negara yang sentiasa mendapat hujan, masalah air masih lagi wujud.

PAS meminta agar kerajaan memberi keutamaan kepada masalah ini. Keadaan sekarang menunjukkan seolah-olah kerajaan tidak menyediakan satu pelan strategik terhadap masalah air.

PAS berharap pihak kerajaan tidak asyik menuding jari dengan menyalahkan pemimpin-pemimpin terdahulu yang sudah tidak lagi berkuasa. PAS menganggap ini adalah antara kelemahan besar kerajaan Barisan Nasional.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
01 November 2017 – HARAKAHDAILY 1/11/2017