Bila projek tebatan banjir Rantau Panjang akan dilaksana?

SEHINGGA sekarang tidak ada sebatang tiang pun didirikan walaupun berkali-kali disebut bahawa bajet bagi Parlimen Rantau Panjang telahpun diluluskan.

Advertisement

Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff berkata demikian ketika memohon penjelasan berkaitan dengan projek tebatan banjir sepertimana yang dijanjikan oleh kerajaan pusat.

“Setiap kali ucapan saya di Parlimen mewakili seluruh rakyat Rantau Panjang menuntut; bilakah projek tebatan banjir di Rantau Panjang akan dilaksanakan?

Saya ingin tahu bilakah ia akan bermula, bila dijangka akan siap projek ini, apakah permasalahannya dan begitu juga peruntukan untuk perparitan? Tidak ada erti tebatan banjir kalau sistem pengaliran ataupun perparitan tidak disalurkan dengan baik,” soal beliau dalam sesi petang Dewan Rakyat sebentar tadi.

Selain menyentuh isu pemberian bajet pembangunan di negeri Kelantan dalam bajet 2018, beliau turut menuntut hak royalti petroleum sebagaimana yang dituntut oleh rakyat Sabah dan Sarawak.

“Rakyat Kelantan menuntut hak royalti sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975. Royalti ini harus dibayar segera kepada kami kerana ini adalah hak sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang,” seru Siti Zailah.

Dalam pada itu beliau turut menzahirkan keyakinan tentang kecerdikan rakyat Malaysia meskipun menerima BR1M, bonus dan pelbagai imbuhan yang lain.

“Undi mereka belum tentu kepada Barisan Nasional (BN) kerana seperti yang diuar-uarkan bahawa halatuju ekonomi negara adalah untuk mencapai status rakyat berpendapatan tinggi tahun 2020, sedangkan rakyat hari ini hanya dapat menikmati ekonomi berkos tinggi,” bidas Siti Zailah. – HARAKAHDAILY 1/11/2017