Muslim hari ini perlu ‘Pembangunan Insan’ semula?

KEWUJUDAN bangsa insan (manusiawi) di muka bumi ini adalah untuk menjadi khalifah Allah SWT dengan melakukan segenap titah perintah-Nya dan meninggalkan segenap larangan-Nya dengan membawa segenap manusia tanpa mengira latar belakang pendidikan dan kefahaman politiknya malah hanya untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Advertisement

Dalam erti kata lain, Allah SWT mahukan dari hamba-hambaNya agar wujud aspek pembinaan insan dengan segala bentuk kebaikan yang berlangsung di muka bumi ini yang juga menjadi matlamat turunnya agama Islam melalui para Anbiya’ bermula dari Nabi Adam a.s. hinggalah kepada Nabi Muhammad SAW.

Islam yang menjadi agama pegangan ummah hingga ke hari ini yang membawa ribuan maksud untuk mencapai keamanan dan keselamatan, berpaksikan kepada tiga persoalan besar yang dikemukakan Islam kepada kita, iaitu; dari mana kita datang, apakah matlamat Allah jadikan kita sebagai manusia dan di manakah kita akan dikembalikan?{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Sesungguhnya para Anbiya’ hingga kepada Nabi Muhammad SAW tidak terkecuali menjalankan titah perintah Allah SWT untuk membangun insan melalui aspek peribadatan seperti yang terkandung menerusi ayat 36 surah an-Nahl  yang bermaksud : “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat itu seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): “Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut”. maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan umat-umat yang mendustakan Rasul-rasulNya.”

Jelas ayat di atas menunjukkan bahawa para Anbiya’ telah melakukan proses ‘Pembinaan Insan’ dengan menyeru mereka untuk hanya mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tetapi apakah benar umat Islam hari ini, terutama masyarakat umat Islam dalam negara Malaysia ini benar-benar berpegang teguh kepada Islam yang sempurna dan syumul (komprehensif dan sejagat) seperti yang dipegang oleh generasi awal dalam kalangan para sahabat Nabi.

Apa yang menggerunkan kita apabila disajikan dengan berita-berita yang dipaparkan di dada-dada akhbar dan siaran berita televisen dan radio penglibatan individu-individu dalam kalangan umat Islam dalam kancah jenayah berat seperti pembunuhan pegawai kastam menjelang pilihan raya umum ke-13 iaitu pada 26 April 2013, pembunuhan Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang pada 10 November 2013 di hadapan rumahnya dan bermacam-macam bentuk jenayah lain yang tidak pernah terfikir pada era 60an – 90-an, ia bukan sahaja membabitkan golongan dewasa, malah golongan remaja juga terpalit dalam jenayah juvana yang amat menakutkan banyak pihak, walaupun berita di atas telah berlaku beberapa tahun lalu, namun ia masih dalam rekod simpanan penulis.

Percambahan program realiti pelbagai yang telah masuk beberapa musim dan pelbagai majlis anugerah dalam kategori muzik, lakonan perfileman dan drama serta pelbagai yang lain dilihat boleh merencatkan ‘Pembangunan Insan’ secara sistematik kerana berlumba-lumba untuk mengejar kemasyhuran dalam dunia glamor.

Ditambah penambahan cerita-cerita mengenai saka, susuk, ilmu hitam, santau serta drama bersiri tempatan, Indonesia, Korea, Jepun dan sebagainya juga dilihat sedikit sebanyak menghalang keupayaan umat Islam untuk berada di masjid atau surau dengan menadah kitab yang boleh meningkat dan membangun jati diri mereka sebagai muslim sejati apatah lagi untuk melakukan tindakan penambahbaikan dalam proses ‘Pembangunan Insan’.

Kita sedar bahawa aspek ‘Pembangunan Insan’ tersangat penting, Allah SWT telah menjelaskan dalam ayat 56 surah ad-Zhariyat yang bermaksud : “Sesungguhnya aku tidak menjadikan jin dan manusia melainkan hanya untuk beribadat kepada-Ku.” Kita diperintahkan Allah untuk membangun diri dengan beribadat iaitu tunduk dan patuh kepada arahan-Nya dalam erti kata ia adalah aspek ‘Pembangunan Insan’ yang semakin hari semakin terpinggir dalam kehidupan umat Islam hari ini dan jauh daripada maksud Islam yang sebenar.

Aspek ‘Pembangunan Insan’ sudah tidak dititik-beratkan secara kolektif dalam kalangan umat Islam dalam negara kita ini. Ia seolah-olah menggambarkan bahawa ‘Pembangunan Insan’ hanya boleh dilakukan dalam masjid, surau, tempat ceramah atau forum agama, sementara di tempat-tempat lain seperti studio, tempat penggambaran filem, stadium ketika menyaksikan perlawanan bolasepak peringkat akhir bagaikan tidak ada hubungan dengan aspek ‘Pembangunan Insan’ tersebut.

Seolah-olah Allah sudah tidak wujud lagi dalam sanubari mereka, semakin hari semakin jauh daripada allah SWT, mereka tidak lagi boleh disifatkan sebagai golongan yang disebut Allah menerusi ayat 2 – 3 surah al-Anfal yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. (2) Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.”(3).
Ummah hari ini perlu dibangunkan semula dengan Islam, kerana Islam sahajalah satu-satunya jalan yang boleh menyelamatkan mereka dari terus berada dalam penentangan terhadap Allah dan undang-undangNya, sedar atau tidak, percaya atau tidak, inilah yang telah berlangsung dalam kalangan umat Islam yang lebih mempersiapkan diri untuk menjadi bintang terkenal daripada membuat persiapan bekalan untuk hari kemudian.

Kalau inilah masalahnya, kita amat yakin bahawa penyelesaiannya juga ada dalam Islam, kerana Allah SWT tidak akan membebankan hamba-Nya dengan pelbagai bentuk masalah tanpa diberikan penyelesaiannya. Justeru satu mekanisme perlu dicari bagi membetulkan kekalutan ini. Mekanisme yang dimaksudkan itu sebenarnya memang telah lama wujud dengan kerasulan Nabi Muhammad SAW, kemudian diteruskan oleh para sahabat hingga kepada generasi para ulama’ yang menjadi pewaris Anbiya’ sampailah ke saat ini.

Sesungguhnya para ulama’ di semua peringkat zaman dan tempat, telah membahaskan aspek ‘Pembangunan Insan’ dalam dakwah mereka, sama ada ia berupa ceramah, forum agama, khutbah, tulisan ilmiah mereka dan sebagainya, ia bertujuan agar ajaran Islam sampai kepada ummah supaya melakukan perubahan dari gaya hidup yang tidak senang kepada Islam kepada cinta Islam dalam erti kata yang sebenar.

Inilah tugas dan peranan ulama’ merealisasikan tanggungjawab melakukan ‘Pembangunan Insan’ seperti yang ditegaskan Allah dalam ayat 33 surah Fussilat  yang bermaksud : “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!”

Antara jalan atau cara terbaik untuk mengembalikan proses ‘Pembangunan Insan’ yang boleh kita anggap sebagai semakin tenat,dan kritikal ialah merujuk kepada usaha generasi terawal ialah dengan memahami tuntutan agama dengan baik, menurut Imam Hasan al-Banna dalam satu kesempatan; bahawa ummah ini sedang menghadapi dilema hidup kerana dua sebab, pertama disebabkan serangan musuh dan kedua hidup mereka yang jauh dari ‘Manhaj Islam’. Justeru katanya, sesungguhnya pemikiran, akidah, cara  (sistem) hidup menurut manhaj Allah dan Rasulullah SAW amat perlu dilakukan semula.

Bagi Imam Hasan, hendaklah setiap muslim itu berusaha memiliki sepuluh ciri kejayaan ‘Pembangunan Insan’ yang tidak boleh tidak mesti diusahakannya;
1. Akidah yang sejahtera

2. Rupa bentuk ibadat yang tepat menurut kacamata Islam

3. Cara berfikir yang tajam dalam mebaca sesuatu isu

4. Memiliki tubuh badan yang sihat dan kuat

5. Memiliki akhlak yang jitu seperti akhlak para Salafossoleh

6. Sebagai muslim yang mampu berdaya saing dalam segenap aktiviti hidup

7. Sebagai muslim yang teratur urusan hidupnya

8. Sebagai muslim yang mampu bermujahadah paling kurangpun untuk diri sendiri

9. Sebagai muslim yang dapat menjaga waktu pada perkara yang disukai Allah

10. Sebagai muslim yang bermanfaat buat saudara muslim yang lain

Apa yang menarik, proses ‘Pembangunan Insan’ ini jika dapat diterapkan dalam kalangan remaja adalah menjadi lebih baik lagi. Sehubungan itu, Sarjana Islam tersohor dunia, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi ada menegaskan; “Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, maka lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan dihadapi.” {/mprestriction}