PAS terkejut Ambiga sumber Sarawak Report

PAS terkejut kenyataan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang menamakan Datuk S Ambiga sebagai sumber rujukannya.

Advertisement

Bekas Presiden Majlis Peguam itu didakwa menjadi rujukan Clare yang mendakwa pemimpin PAS menerima wang RM90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, selama ini PAS tidak pernah mendengar Ambiga bercakap mengenai perkara itu.

Menurutnya, PAS hanya mengetahui isu tersebut daripada orang lain khususnya dalam ceramah.

“Tiba-tiba Sarawak Report mendakwa Ambiga yang bagi maklumat berkaitan perkara itu.

“Kita tidak menjangka perkara itu datang daripada Ambiga yang kita tahu hanya sumbernya dalam ceramah dan media sosial sahaja,” ujarnya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Berikutan pendedahan tersebut banyak pihak termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan meminta Ambiga memberi reaksi terhadap dakwaan editor terbabit. – HARAKAHDAILY 1/11/2017