Piza, dadih dan coklat IQ

SELEPAS menceburi pelbagai jenis penjualan produk makanan, Pengasas syarikat FT & K Enterprise, Siti Fatimah Hidayah Ismail, 33 terus membulatkan langkah menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan menerusi jenama Coklat IQ.

Advertisement

Menawarkan gabungan makanan sunnah di dalam Coklat IQ yang diadun khas bersama coklat untuk mencerdaskan minda dan mengembalikan tenaga kepada penggemar coklat, Coklat IQ produk keluaran muslim semakin mendapat tempat di hati peminat coklat.

Ibu muda kepada enam cahaya mata ini pada mulanya merasa berat meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah, namun memikirkan faktor anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian beliau mengambil keputusan berhenti selepas mendapat sokongan suaminya.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

coklatTujuh tahun lalu, beliau telah mula berjinak-jinak membuat produk makanan sendiri seperti piza dan dadih, diletakkan oleh suaminya, Mohd Taufik Mohamed Yusof di kedai-kedai makan berhampiran rumahnya.

“Bermula dari situ dapat tempahan dadih, kek dan piza. Pagi-pagi lagi suamilah mainkan peranan hantar tempahan di kedai-kedai makan, sebelah petang pula ambil baki yang tidak terjual.

Sehingga diberi peluang untuk buka kedai di belakang pejabat Adun Gombak Setia, ustaz Hasbullah Ridzwan. Masa di kedai, fokus utama adalah piza panas dan ditambah dengan produk-produk muslim,” katanya yang tidak putus mendapat sokongan daripada suami tercinta.

Beliau yang ditemui Harakah di premis mini kilang Coklat IQ yang mula beroperasi dua tahun lalu berkongsi cerita, idea untuk membuat coklat tercetus ketika beliau mengandung lima bulan anak ketiga pada tahun 2013.

“Saya suka makan coklat dan kebiasaannya anak-anak dan orang perempuan khususnya suka makan coklat. Jadi saya terfikir, bagaimana untuk datangkan coklat yang berkhasiat bukan sekadar menikmati rasa coklat yang memberi tenaga tetapi tambah nilai dengan makanan terbaik seperti kurma, kismis, madu, zafran, habbatus sauda, zaitun dan lain-lain yang terbukti khasiatnya.

Alhamdulillah, percubaan demi percubaan sehingga dapat rasa coklat yang serasi dengan citarasa,” katanya yang mempelajari teknik asas membuat coklat daripada rakan ibunya.

Berkongsikan modal dengan suami berjumlah RM2000 untuk pembelian bahan mentah, acuan dan peti ais, katanya proses pembuatan coklat di rumah bermula selepas kesemua anak-anaknya tidur dan prosesnya dilakukan sendiri olehnya dari A hingga ke Z.

Mengakui terpaksa berhadapan dengan kepayahan ragam anak-anak yang masih kecil dari usia 7 tahun hingga bayi, ujarnya mereka suami isteri bersetuju bekerjasama bergilir-gilir menjaga anak demi melancarkan perniagaan.

coklat1“Suami seorang penceramah dan beliau sangat memberi sokongan, setiap hari bantu bawa jual coklat di kuliah-kuliah, mesyuarat dan juga secara ‘online’ (atas talian) untuk promosi kecil-kecilan. Alhamdulillah sambutannya sangat baik.

“Dari situ ada kenalan, guru-guru dan usahawan kecil mula hubungi kami untuk menjadi agen pemasaran. Dari satu bekas yang berisi 50 bar coklat hinggalah kepada 50 bekas tempahan mingguan,” kata anak kelahiran Guar Chempedak, Kedah.

Produk yang diusahakan beliau bersama suami bukan sahaja menaikkan pendapatan ekonominya malah turut memberi peluang pekerjaan sambilan kepada pelajar-pelajar universiti tempatan yang mencari pendapatan sampingan di hujung minggu dengan bayaran RM5 per-jam.

Selepas melahirkan anak ketiga, proses pembuatan coklat masih dibuat di rumah manakala proses pembalutan dilakukan di kedainya dan dua kakitangan sepenuh masa diambil untuk proses pembalutan sambil dibantu oleh pekerja sambilannya.

Berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya saingan yang hebat dari jenama coklat terkenal di Malaysia, keterhadan peralatan mesin dan kesukaran mendapat sijil halal tidak menghalang beliau untuk terus meneroka dan mempelajari gaya pemasaran yang semakin mencabar.

“Alhamdulillah dari tempahan 4000 hingga 8000 Coklat IQ sebulan dengan beberapa perisa, kini meningkat sehingga 20,000 ke 30,000 dengan 10 perisa dalam 3 bentuk iaitu bentuk bar 50g serta 23g dan kiub 10g.

Kedai asal di belakang pejabat ustaz Hasbullah dah tak mampu menampung keperluan 6 kakitangan kami dan Allah permudahkan kerja kami, terjumpa kedai untuk disewa di deretan kedai Taman Melewar. Kami terus ambil peluang dan ubahsuai menjadi kilang kecil yang mana proses memasak dan pembungkusan boleh dibuat di sini,” katanya.

Harapan beliau sokongan terus diberi kepada produk keluaran muslim tempatan, selain mengharapkan produk keluarannya mendapat kelulusan pensijilan halal dari Jakim dan diterima oleh semua lapisan masyarakat sebagai produk alternatif yang berkhasiat menjana tenaga dan minda. {/mprestriction}