Kalah di muktamar punca PAN lahir

SEKIRANYA bekas pemimpin PAS yang mengasas Parti Amanah Negara (PAN) tidak tewas pada muktamar 2015 di Kuala Selangor, sudah tentu tidak wujud parti serpihan tersebut.

Advertisement

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, PAN wujud selepas pemimpin terbabit tewas pada muktamar ketika itu.

“Maka hendak lepas dendam akibat kalah pada muktamar itu mereka berpakat menubuh parti baharu yang dikenali PAN.

“Kalau mereka menang ketika itu sudah tentu tidak wujud PAN seperti yang ada hari ini,” katanya pada ceramah di Kampung Hujung Tanjung, Panchor malam tadi.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Kelantan, Datuk Nassurudin Daud dan Naib Yang Dipertua PAS Pengkalan Chepa, Azmi Mohd Nor.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata, PAN bercita-cita besar mahu bertanding begitu banyak kerusi di negeri tersebut pada pilihan raya umum ke-14 tidak lama lagi.

Namun katanya, cawangan pun tidak ada bagi menyokong gerak kerja parti itu.

Manakala dalam perkembangan berkaitan Pejabat PAN Kuala Krai yang pernah digunakan sebagai Pusat Khidmat Parlimen Kuala Krai kini hidup segan mati tak mahu.

Sepanduk yang dipasang di hadapan pejabat hampir tercabut. Malah tiada petugas yang kelihatan di pejabat tersebut yang terletak berhampiran Klinik Rahimah di Guchil. – HARAKAHDAILY 2/11/2017