Peniaga diugut niaga semula di pasar lama

KETIKA sebahagian peniaga sudah berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh Sentral, namun ada pula dalam kalangan mereka dikatakan menerima ugutan parti politik tertentu.

Advertisement

Difahamkan seorang peniaga yang merupakan isteri kepada pemimpin parti politik di peringkat cawangan dikatakan diminta kembali berniaga di pasar lama. (Foto: Anggota Jabatan Amal bantu pindah barang peniaga.)

Sumber pemimpin tempatan di sini memberitahu peniaga itu menerima kata dua daripada pemimpin bahagian Pasir Puteh.

“Ekoran tekanan itu peniaga terbabit mengambil keputusan berniaga semula di pasar lama selepas peniaga lain sudah memulakan perniagaan di Pasar Siti Hajar.

“Saya difahamkan ugutan itu melibatkan jawatan politik dipegang suami wanita terbabit,” katanya di Pasir Puteh.

Manakala dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, bekas ahli majlis Majlis Daerah Pasir Puteh yang terlibat berunding dengan syarikat yang membina Pasar Siti Hajar kini bersama Parti Amanah Negara (PAN).

Katanya, dua bekas ahli majlis terbabit diberi peranan berunding dengan syarikat pemaju mengenai projek pembinaan pasar tersebut.

“Hari ini selepas peniaga meluah ruang niaga sempit, tiba-tiba bekas ahli majlis tersebut menyalahkan pula kerajaan negeri,” katanya pada ceramah di Kampung Hujung Tanjung malam tadi. – HARAKAHDAILY 2/11/2017