SDA perlukan keprihatinan masyarakat

REMBAU: Sekolah Dato’ Abdullah (SDA) iaitu Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang terletak di pekan ini amat memerlukan keprihatinan banyak pihak dalam kelangsungan usahanya di bidang pendidikan.
 
Pada ketika ini, SDA masih menghadapi kekangan peruntukan untuk melestari pembangunan dan baik pulih segala kerosakan yang terdapat di institusi pendidikan itu.
 
Sedangkan kewangannya hanya bergantung kepada peruntukan tahunan SAR yang diterima berdasar jumlah pelajar iaitu RM60 bagi setiap pelajar.
 
Dipimpin Pengetuanya, Fadilon Md Shah, SDA cuma terdiri daripada 360 pelajar dan 14 guru dengan mengenakan yuran bulanan yang kecil kepada setiap pelajarnya.
 
Atas motto “Beramal Kerana Allah, Berkhidmat Untuk Kemanusiaan”, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan sedaya upaya membantu SDA.
 
Menerusi Timbalan Pengerusinya, Rozmal Malakan bersama sukarelawannya,  Ishak Omar dan Azamah Awang telah menyampaikan sumbangan empat meja dan lapan bangku untuk kantin SDA.
 
Terdahulu, Yayasan Amal telah melaksanakan beberapa siri bantuan kepada SDA meliputi kerja-kerja memasang bidai, menggantikan dan membaiki atap, pintu-pintu serta dinding bangunan, lampu semua kelas dan lainnya.
 
Dalam majlis ringkas di kantin SDA, Pengetuanya benar-benar mengharap pelbagai pihak membantu sekolah itu menjayakan hasrat menyediakan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
 
Katanya, keprihatinan umum kepada SDA perlu dalam mencapai matlamat melahirkan generasi al-Quran yang berjaya dari institusi pendidikan tersebut.
 
Sebarang sumbangan boleh dihulurkan ke akaun CIMB Bank 8004351913 atas nama Sekolah Dato’ Abdullah atau hubungi Fadilon di talian 011-2683 3861. – HARAKAHDAILY 2/11/2017
Advertisement