Vaksin ada jin?

MENARIK sungguh soalan yang dikemukakan dalam forum bersama Prof Madya Dr Basri Ibrahim semalam di Masjid Pengkalan Pandan, Kemaman. Soalan berkaitan dengan bedah batin dan penggunaan jin dalam perubatan.

Advertisement

jin1Beliau menjawab, bahawa perubatan sedemikian adalah palsu dan berunsur jin atau sihir. Mengabui mata orang ramai. Hakikatnya peranan jin yang digunakan bagi mengeluarkan batu karang atau seumpamanya. Kes yang melibatkan bedah batin di Melaka itu telah disita oleh JAKIM dan beliau mengaku menggunakan jin.

Jawaban kedua isu berkenaan juga cukup menarik. Beliau menjelaskan apa sahaja pengakuan atau saranan ucapan dari jin adalah temberang besar. 1% sahaja boleh diambil, manakala 99% adalah bohong. Siapa sahaja yang mempercayai cakap jin tanpa mengira status dalam masyarakat, sudah dikencing oleh jin (ayat tambahan dari saya).

Berbetulan pulak pagi ini, rakan-rakan kongsi satu video YouTube seorang pengamal perubatan rukyah bernama Syeikh Abdurraouf ben Halima, bercakap dengan jin yang merasuk seorang pesakit negro. Intipati perbualan tersebut menyatakan bahawa salah satu agenda Israel untuk menunggu kedatangan Dajjal adalah mengupah penyihir-penyihir memasukkan jin dalam vaksin. Setiap dos vaksin mengandungi 10 ekor jin. Pesakit negro yang kena rasuk, salahkan vaksin. Nak tergelak pun ada…

Kesimpulan yang dibuat oleh tuan syeikh bahawa memang wujud jin dicampur dalam vaksin. Kesian saya tengok tuan syeikh. Tanpa merendahkan ilmu yang hebat beliau ada, suka saya nasihatkan bahawa tuan syeikh sebenarnya telah dikencing oleh pembohongan jin yang merasuk pesakit negro itu. Kepercayaan totok tuan syeikh boleh menjatuhkan martabat ketinggian darjat tuan di mata masyarakat.

Pengilangan dan pembuatan vaksin bukan di Israel, malah di Indonesia pun terdapat kilang pembuatan vaksin. Pengusahaannya juga bukan dibuat di belakang rumah, atau dalam hutan belantara yang menjadi tempat tinggal jin. Bukan juga di istana-istana usang seperti cerita Harry Potter. Kilang dan makmal membuat vaksin cukup dengan ciri, ciri keselamatan, kebersihan dan garis panduan yang lengkap. Tidak boleh sembarangan orang masuk menurunkan jin dalam cecair vaksin tersebut. Kobodohan apakah, jika ada antara kita percaya cakap jin tersebut!

Setiap tahun lebih dari 6.9 juta bayi disuntik dengan vaksin dalam negara kita. Adakah semuanya dirasuk oleh jin? Bermakna sudah 69 juta ekor jin merayap masuk dalam tubuh anak-anak kita. Sedangkan sahabat-sahabat dari pengamal Darussyifa yang menjalankan rukyah ke atas pelanggan mereka mengaku bahawa, tidak semuanya dirasuk oleh jin. Ada sahaja yang normal.

Apabila video tersebut tersebar, ramai antivaksin yang kongsi dalam media sosial mereka. Maka terserlahlah juga mereka sudah dikencing oleh jin secara berjemaah.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
2.11.2017
Kuala Dungun – HARAKAHDAILY 2/11/2017