Selamat berjuang calon SPM

SIRAH Rasulullah S.A.W mencatatkan kehebatan dan penglibatan golongan remaja dalam membantu agama Allah S.W.T. Antaranya, remaja bernama Arqam bin Abi al-Arqam yang menjadikan rumahnya sebagai pusat awal gerakan dakwah Islam. 
 
Begitu juga Saidina Ali bin Abi Talib yang terkenal sebagai remaja berani. Mu’az dan Mu’awwiz yang terlibat dalam peperangan Badar hingga menumpaskan Abu Jahal. Sama juga Usamah bin Zaid yang diberi kepercayaan oleh Rasulullah memimpin peperangan pada usia seawal 17 tahun, serta ramai lagi.  
 
Ini menggambarkan usia remaja ibarat emas yang sangat bernilai. Ia mesti dipelihara dan digilap sinarnya bertepatan dengan acuan Islam.
 
Menempa kejayaan dalam pencapaian akademik mestilah tidak hanya terhenti sekadar memburu posisi di universiti atau kerjaya yang baik. Namun, lebih jauh daripada itu adalah bagaimana ia dimanfaatkan untuk pembangunan ummah dan perjuangan agama Allah S.W.T ini.
 
Marilah bersama kita mengingati beberapa adab sebagai penuntut ilmu. Iaitu niat yang ikhlas kerana Allah SWT, menjauhi segala maksiat kerana ia boleh menyebabkan terhalangnya penerimaan ilmu serta menghormati dan memuliakan guru. 
 
Selain itu memelihara akhlak ketika menuntut ilmu, mengelakkan perkara yang boleh melalaikan tumpuan terhadap ilmu, juga bersikap tabah dan tekun terhadap segala kesusahan mencari ilmu dan memilih sahabat soleh.
 
Sebelum mula memasuki dewan peperiksaan, adalah lebih baik didahulukan dengan Solat Hajat memohon doa kepada Allah S.W.T, perbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW, serta memastikan hati berada dalam keadaan tenang dengan melazimi zikir kepada-Nya.  
 
Selamat berjuang buat 443,883 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang akan bermula pada 6 November ini. Moga beroleh kejayaan di dunia dan akhirat, insya-Allah.
 
AKRAM IKRAMI TAIB AZAMUDDEN
Pengarah
Jabatan Pembangunan Remaja
Dewan Pemuda PAS Malaysia 
3 November 2017 | 14 Safar 1439 – HARAKAHDAILY 3/11/2017
Advertisement