Tekad Ketua Polis KL perangi judi disokong

image
TEKAD diisytiharkan Ketua Polis Kuala Lumpur (KL), Dato’ Mazlan Lazim untuk membersihkan Ibu Negara dari segala bentuk perjudian haram merupakan langkah tegas lagi berani. Kami menyokong penuh usaha yang diiltizam untuk diselesaikan dalam tempoh 30 hari bermula Rabu lalu itu.
 
Ia membuktikan pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selaku penguat kuasa utama undang-undang dalam negara mempunyai keupayaan menanganinya. Walaupun turut memahami betapa tindakan itu penuh cabaran dan liku, kami cukup percaya Dato’ Mazlan mampu.
 
Beliau sebelum ini pernah menjawat Ketua Polis Negeri Kelantan dan Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Jabatan Perdana Menteri selama 13 tahun. Sebagai Timbalan Ketua Polis KL bersama pasukan pernah dipimpinnya sebelum ini, tentunya sudah cukup berpengalaman selok belok ibu kota.
 
Kerencaman dan segala tipu helah jenayah sudah pasti dalam genggaman beliau, malah sejajar iltizam Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang juga mengisytiharkan perang terhadap judi dan aktiviti haram. Ribuan premis judi di Kuala Lumpur tentunya dapat dibasmi dari kesepaduan penguatkuasaan.
 
Komitmen ditunjukkan teraju kepimpinan PDRM ini juga diharap dapat menangani dilema kelemahan penguatkuasaan dalam menyelesaikan kes-kes seperti ini sejak sekian lama. Kecurangan penguat kuasa dapat diperbetulkan oleh integriti dan ketegasan kepimpinan yang diteladankan oleh kedua pimpinan ini.
 
Kami menyeru masyarakat untuk turut memberi kerjasama dan menyokong usaha seperti ini. Kami bersedia bekerjasama dengan membenteras kegiatan yang boleh merosakkan masyarakat. Kami turut mendoakan agar Polis Kuala Lumpur di bawah Dato’ Mazlan diberi kekuatan dan perlindungan Allah S.W.T serta tahniah atas pelantikan.
 
MOHD SHAHIR ABU HASSAN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
3 November 2017 | 14 Safar 1439 – HARAKAHDAILY 3/11/2017
Advertisement