Halwa Dun Panching laksana dakwah menerusi FB

PAYA BESAR: Urusan Hal Ehwal Wanita (Halwa) Dun Panching telah menganjurkan Bengkel Facebook (FB) dan Penerangan melibatkan lebih 30 peserta di Balai Islam Darussalam Permatang Badak, Kuantan di sini hari ini.
 
Menurut Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Paya Besar, Suryati Razali, terdapat ahli yang tidak pandai berceramah seperti para ustaz dan ustazah, tetapi boleh menyampaikan dakwah melalui jalan-jalan lain seperti FB.
 
“Kita tetap boleh berdakwah melalui media sosial seperti Whatsapp dan FB dengan like atau share bahan-bahan dakwah yang bermanfaat daripada penulisan para alim ulama, walaupun kita tidak pandai menulis.
 
“PAS bukan semata-mata parti politik, tapi PAS juga ialah gerakan dakwah dan tarbiyah. Dakwah ini kerja para Nabi dan Rasul. Bila kita berdakwah, kita telah menyambung mata rantai perjuangan Nabi-nabi dan Rasul-rasul,” ujarnya.
 
Dakwah jelasnya, adalah tugas ‘full time‘ dan berterusan di mana peluang sementara yang Allah pinjamkan itu adalah untuk menjadi da’ie di jalan Allah.
 
Sementara itu, menurut Pengarah Bengkel, Noorbi Ismail berkata, bengkel tersebut dilaksanakan adalah untuk melahirkan Dai’e Cyber untuk menyampaikan dakwah melalui media baru.
 
Disamping itu ujarnya, untuk mengajak masyarakat mengikuti Sunnah Rasulullah S.A.W dan menyampaikan kebaikan Islam.
 
“Selain bengkel ini, Muslimat juga akan menganjurkan Bengkel Video Pendek dalam masa terdekat untuk melahirkan Dai’e Cyber yang mahir dalam mengikuti arus teknologi,” ujarnya.
Advertisement