Manfaat meluas dalam Belanjawan Selangor

SHAH ALAM: Belanjawan Negeri Selangor 2018 adalah kesinambungan kecemerlangan Belanjawan 2017 lalu, kata Adun Tanjong Selat, Mohd Haslin Hassan.
 
Beliau berkata, belanjawan kali ini dilihat memberi manfaat yang sangat luas khususnya kepada para petani, penternak dan juga nelayan, pelajar, keluarga berpendapatan rendah dan golongan wanita (ibu). 
 
Ini kerana ujarnya, peruntukan dan inisiatif sektor pertanian diambil berat oleh kerajaan negeri sehingga menekankan sektor pertanian, lebih-lebih lagi berkaitan pertanian moden khususnya fertigasi.
 
“Perkara yang sangat menarik bagi saya ialah tentang Skim Peduli Sihat, yang mana pada tahun 2017 sambutannya sangat luar biasa. Atas sebab itu kerajaan negeri prihatin terhadap keperluan rakyat dengan melebarkan jumlah peruntukannya kepada RM500 kepada RM700 seisi keluarga untuk setahun,” katanya.
 
Kerajaan negeri juga menurut Haslin, mengambil berat dan menggalakkan generasi muda menuntut ilmu dengan meningkatkan had kelayakan untuk mendapat hadiah masuk universiti, dengan meningkatkan syarat pendapat isirumah dari RM3,000 sebulan kepada RM5,000 sebulan. 
 
“Keberanian kerajaaan negeri pada kali ini jelas dengan menterjemahkan kepedulian kepada golongan wanita (ibu) dengan memperkenalkan insentif melalui kad “KISS” yang membolehkan peserta yang layak menikmati nilai RM200 sebulan untuk membeli barangan keperluan di permis-permis terpilih,” ujarnya ketika ditemui di Dewan Annex selepas pembentangan itu.
 
Tambahnya, pemberian insentif untuk surirumah itu merupakan hadiah yang sangat bermakna kepada mereka yang mendidik anak-anak kita, menjaga keluarga sehingga rakyat sekarang sudah mampu membina kecemerlangan seperti yang dirasai pada hari ini. – HARAKAHDAILY 4/11/2017
Advertisement