Membina kepimpinan yang mempunyai kompetensi

riduan1

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang telah mencecah 66 tahun perjuangannya, bergerak seimbang disektor siasah, dakwah dan tarbiah. Harakatul ummah ini yang menghimpunkan insan-insan yang cintakan kepada Islam dan Syariatnya, maka program tajnid(kaderisasi) merupakan wahana untuk membentuk kader-kader dakwah yang piawai. PAS sewajibnya mempunyai pimpinan yang piawai dan pakej disemua peringkat kepimpinan, maka pembinaan karektor kepimpinan ini mestilah bertunjang kepada thaqofah.

Advertisement

Menurut pembentang kertas kerja thaqofah kepimpinan dalam tamrin Qiadi PAS Pusat,Dr Johari Mat, pemimpin yang mempunyai daya intelektual yang tinggi seharusnya menjadikan dirinya sebagai pendakwah yang mampu mendepani massa dan arus peradaban kontemporari. Tiada jalan mudah untuk membina kekuatan intelektual dalam kepemimpinan.

Antara ilmu yang perlu diraih bagi kepimpinan Islam ialah:

1)Al-Quran dan tafsirnya
2)Hadis
3) Feqah
4)Usul Al Fiqh
5)Aqidah
6)Tasawwuf
7)Sistem-sistem Islam

Pemimpin yang berdakwah kepada Islam mestilah mengetahui, memahami dengan jelas, dan yakin dengan jelas Islam yang hendak disampaikan. Pengetahuan Islam itu hendaklah diambil, dicedok dari sumber yang asal yang tidak diseleweng dan ditakwil.

Dai’e dan dakwahnya hendaklah berada di atas jalan yang jelas dan benar (basirah):

“Katakanlah (wahai Muhammad): inilah jalanku dan jalan orang yang mengikutinya,  menyeru manusia kepada agama Allah dengan berdasarkan bukti dan keterangan yang jelas dan nyata. Dan akau menegaskan: Maha Suci Tuhan (dari segala perbuatan iktikad dan syirik), dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain” (Surah Yusuf: 108)

Dr. Syeikh Al Qaradhawi ada menjelaskan bahawa “seseorang yang ingin menjadi pendakwah yang baik hendaklah mengetahui tentang sejarah. Kerana sejarah itu umpama sebuah catatan tentang kemanusiaan. Di dalamnya tercatat peristiwa yang dialami dan menghimpunkan pengetahuan dan budaya. Sekaligus menjadi bukti yang adil kepada cita dan karya mereka. Dalam konteks ini adalah berkaitan sejarah Islam dan umatnya secara khusus serta sejarah dunia secara umum”.

Kemudian,  pengetahuan pendakwah tentang ilmu sastera dan bahasa agar mesej yang disampaikan mampu diterima dengan baik dan tidak berlakunya salah faham. Bagi mendapatkan bahasa yang baik dan menarik, seorang pendakwah perlulah mempelajari ilmu bahasa dan sastera. Sheikh Said Hawwa menjelaskan bahawa seseorang pendakwah mestilah mempelajari ilmu bahasa Arab. Mengetahui Ilmu bahasa Arab dari sudut penulisan,  pembacaan, dan berbicara sangat penting kerana sumber ilmu Islam adalah dari bahasa Arab. Untuk mahir dalam ilmu bahasa Arab, kita perlulah mempelajari ilmu nahu,  saraf,  balaghah,  a’rudh,  sastera Arab dan sejarahnya.

Seterusnya,  para pemdakwah juga perlulah mengetahui ilmu kemanusiaan. Ilmu kemanusiaan ini adalah ilmu berkaitan ilmu psikologi (jiwa),  ilmu sosiologi (kemasyarakatan), ekonomi, etika/akhlak dan sejarah.  Pendakwah perlulah menguasai ilmu-ilmu tersebut kerana ianya berkaitan dengan sasaran dakwah dan diri pendakwah tersebut. Bahkan, ilmu juga penting untuk membantu para pendakwah memahami cara hidup,  budaya dan tabiat manusia. Ini kerana, Islam menuntut agar dakwah disampaikan mengikut tahap pemikiran dan keupayaan berfikir seseorang itu.

Begitu juga pengetahuan tentang ilmu Sains, yang tidak boleh tidak sebagai pendakwah memiliki ilmu berkaitannya. Ilmu sains merupakan susunan ilmu yang sistematik/teratur kerana ianya boleh dibuktikan kebenarannya ataupun ilmu yang dibuktikan dengan kenyataan dan logik semata-mata seperti ilmu kimia, fizik,  biologi, botani, astrologi dan sebagainya. Walaupun begitu,  keutamaan seorang pendakwah mengetahui bidang sains bukanlah sehingga tahap menjadi seorang yang saintis (pakar),  akan tetapi cukuplah mengetahui secara umum ilmu-ilmu yang berkaitan sains dan ilmu-ilmu semasa yang dapat dikaitkan dengan dakwah.

Kesimpulannya, menjadi pemimpin PAS tidak boleh berpuas hati dengan tahap ilmu yang mereka ada. Ini kerana kelompok  kelas menengah semakin membesar di negara ini dan mereka merupakan kelompok yang menuntut pelbagai jawaban daripada PAS. Masyarakat yang terdedah dengan pelbagai maklumat daripada terjahan langit dan juga masyarakat yang semakin akses dengan maklumat. Menjadi pemimpin PAS dipelbagai peringkat memerlukan budaya cintakan ilmu yang menggebu, menjadi pembaca tegar dalam rentas ilmu yang multi dimensi. Sebolehnya pemimpin boleh memuntahkan idea-idea yang segar di atas aksara, menulis untuk berkongsi ilmu yang bermanfaat dengan ahli-ahli dan juga masyarakat. Pemimpin PAS mestilah menunjukkan qudwah dalam pembudayaan ilmu dan menjadi pencetus kepada pemugaran semangat jihad ta’alim. – HARAKAHDAILY 4/11/2017