Muzakarah dengan ahlinya

SEMALAM diberi kesempatan yang cukup bermakna bersama dengan Sahibu Samahah Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di pejabat beliau.

Advertisement

Seorang mufti yang cukup perihatin isu² kesihatan dan teliti dalam mengeluarkan pandangan.

Kami dijemput untuk membentangkan isu vaksin rotavirus yang kini semakin menular. Cirit-birit yang menjangkiti kanak-kanak sehingga mencecah 30-40% kemasukan ke wad akibat dari rotavirus. Sudah ada kematian akibat komplikasi teruk jangkitan rotavirus ini dalam negara kita.

Berikut saya papar semula tulisan saya berkaitan vaksin rotavirus.

*#Vaksin Rotavirus halal atau tidak?*

Vaksin rotavirus digunakan bagi mencegah kes jangkitan Virus Rota (Rotavirus) yang menyebabkan muntah dan cirit birit di kalangan kanak-kanak. Sejarah tercatat bahawa virus ini adalah punca utama terjadinya cirit birit di kalangan kanak-kanak yang berusia 5 tahun ke bawah. Kebanyakannya kejadian tersebut berlaku di negara-negara yang sedang membangun. Cerapan statistik menunjukkan keseriusan jangkitan ini, di mana dilaporkan sebanyak 1,250,000 kes jangkitan rotavirus berlaku. Pemberian vaksin rotavirus ini telah mencegah penularan penyakit dan dianggarkan menyelamatkan kematian kanak-kanak seluruh dunia seramai 527,000 kes melalui proses vaksinasi ini.[1]

Cuma timbul isu pada Mac 2010, laporan pemantauan oleh pihak berwajib mendapati vaksin Rotarix (keluaran GlaxoSmithKline) mengandungi DNA PCV1 (Porcine Circo Virus 1).

Kemudian pada Mei 2010 pula DNA PCV2 ditemui dalam vaksin Rotateq (keluaran Merck & Co.).[2] Pihak Berkuasa Kawalan Ubat dan Makanan telah menarik balik semua vaksin tersebut seluruh dunia. Setelah kajian menyeluruh dibuat, pada jun 2010, WHO mengeluarkan kenyataan bahawa kedua-dua jenama vaksin tersebut selamat digunakan. Hasil kajian mendapati, PCV1 dan PCV2 yang turut didapati bersama dalam vaksin rotavirus tidak memberikan kesan negatif kepada manusia. Malah sebanyak 67 juta dos vaksin Rotarix dan 37 juta dos vaksin Rotateq yang telah diberikan kepada bayi-bayi sebelum ini pun tidak menimbulkan mudarat kepada mereka. Pemberian vaksin itu telah berjaya menghalang bayi-bayi dari menderita atau maut akibat jangkitan rotavirus.

Porcine Circo Virus (PCV) bukannya DNA zat babi, tetapi ianya sejenis virus yang hidup dalam babi. Ia dinamakan sedemikian kerana sejarah penemuannya adalah di dalam babi. Ia diumpamakan seperti kutu babi. Kutu babi bukannya berzat babi tetapi namanya kutu babi kerana ditemui banyak hidup da badan babi. Kutu babi juga boleh hidup dibinatang lain seperti lembu, kerbau, seladang dan sebagainya. Isu inilah yang biasanya menjadi kekeliruan ramai. Penambah kepada keliru tersebut adalah apabila membaca atau mendengar tulisan dari orang yang bukan ahlinya.

Kenapa PCV ini boleh didapati juga bersama Vaksin Rotavirus? Enzim trypsin dari unsur babi telah digunakan dalam peringkat permulaan untuk memproses virus. Virus PCV yang terdapat bersekali dengan enzim trypsin tadi. Ianya sejenis makhluk hidup, tidak dapat dipisahkan dengan mudah. Virus PCV adalah virus terkecil di dunia berukuran 17 nanometer. Kehadiran bersama virus PCV inilah yang menyebabkan WHO telah mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan kehadiran virus PCV1 dan PCV2 di dalam vaksin Rotavirus.

Kenapa enzim trypsin digunakan? Hanya enzim trypsin boleh menanggalkan perlekatan virus dari media kultur.[3] Setelah penanggalan berlaku, enzim tadi telah dicairkan dan dibasuh berkali-kali melalui pelbagai peringkat penyaringan serta penapisan. Jumlah enzim yang digunakan adalah sedikit. Pengesahan telah dibuat, setelah melalui proses penapisan, penulinan dan penstrilan bahawa sudah tiada langsung DNA babi yang berbaki.[4] Mungkin dalam tempoh beberapa tahun mendatang, enzim trypsin tidak digunakan sepenuhnya. beberapa kaedah baru sedang dalam kajian.

Timbul atas kekeliruan ini, isu halal atau haram penggunaan vaksin rotavirus kerana menggunakan enzim trypsin. Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA) telah mengeluarkan kenyataan bahawa vaksin Rotateq di haruskan penggunaannya. Sijil halal (sah sehingga 2018) telah dikeluarkan oleh mereka bagi menjamin kepastian pengguna.[5] Beberapa fatwa lain juga telah dikeluarkan dalam isu ini. Antaranya Majlis Agama Islam Singapura.[6]

Cuma, terlebih dahulu dari itu, penggunaan vaksin Rotateq telah diputuskan semasa Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008.[7] Dalam sidang yang sama majlis fatwa juga telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax. Dapatan dari penerangan yang diperolehi dari maklumat semasa itu adalah kedua-dua vaksin tersebut menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Justeru, Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax (tidak terdpat dalam pasaran negara Malaysia) dan RotaTeq adalah tidak dibenarkan kerana:

i) Situasi kini dianggap tidak dharurat;
ii) Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur babi dalam pemprosesan kedua-dua vaksin; dan
iii) Tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.

Demi kemashlahatan umum dan pencegahan penyakit yang boleh membawa mudarat ini dalam masyarakat, sayugia saya mencadangkan pihak berkuasa agama membuka ruang semula untuk berbincang berkaitan hukum penggunaan vaksin rotavirus. Pakar-pakar dalam bidang perubatan sedia untuk membentangkan hasil kajian terbaharu dari segi statistik kejadian semasa dan beban yang ditanggung oleh masyarakat umum dalam menangani penyakit berjangkit ini.

Sekian

Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
27.6.2017
Ketengah Jaya

Pautan
[1] Porcine Circo Virus. http://www.virology.ws/…/porcine-circovirus-dna-in-rotavir…/
[2] Kenyataan dari WHO.
http://www.who.int/…/rotav…/rotarix_and_rotateq/Jun_2010/en/
[3] Penggunaan Trypsin. http://www.journalcra.com/…/use-recombinant-trypsin-product…
[4] Doktor budak: Vaksin rotavirus tidak halal? http://www.doktorbudak.com/…/qa-vaksin-rotavirus-tidak-hal…/
[5] Halal Consumer magazine 16, 2009. page 22. http://www.ifanca.org/…/Halal%20Consumer%20Issue%…/hc_16.pdf
[6] Fatwa Majlis Agama Islam Singapura. http://www.muis.gov.sg/officeofthe…/…/rotavirus_vaccine.html
[7] sijil-sijil harus dari majlis fatwa. http://rikemahendra.blogspot.my/…/01/status-halal-vaksin.ht…

Semoga dengan muzakarah yang dilakukan tersebut memberi satu sarwa pemikiran yang luas kepada Datuk dan juga tim penyelidik beliau. InshaAllah kami sudi memberikan info tambahan kepada Datuk dalam tempoh yang terdekat.

Suhazeli Abdullah
Fb.com/drsuhazeli
4.11.2017
Batu Caves