Parlimen Malaysia perlu contohi blok Eropah

PAS mencadangkan kepada Parlimen untuk mencontohi blok Eropah yang menggunakan parlimen untuk sebarang kepentingan mereka.

Advertisement

Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa) berkata, blok Eropah begitu menjaga kepentingan minyak-minyak keluaran mereka, di mana mereka menggunakan parlimen untuk menyatakan atau mempertahankannya.

“Berkaitan kelapa sawit, kita semua tahu bahawa berlaku percanggahan antara kita dengan blok Eropah adalah kerana kepentingan.

“Jadi apakah kita boleh menggunakan model yang sama, parlimen kita juga sedangkan semua tahu bahawa minyak kelapa sawit mempunyai banyak kepentingan, selain banyak kebaikan yang semua telah di’established’ melalui kajian-kajian saintifik,” kata beliau ketika mencelah perbahasan Dato’ Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin), di Dewan Rakyat, kelmarin.

Ahmad, dalam jawapan balasnya berkata, pihaknya mengharapkan supaya negara mempunyai cukup dana untuk membuat promosi, bukan sahaja mematahkan apa yang telah mereka timbulkan, serta dakwaan-dakwaan mereka.

Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan perlu memperkenalkan dan memberikan pendidikan kepada seluruh pengguna, anak-anak di Eropah bahawa minyak sawit adalah minyak yang cukup bertenaga, minyak yang cukup bermanfaat dan juga berkhasiat.

“Akan tetapi kerana kewangan yang cukup mencabar pada ketika ini, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan satu dana yang mencukupi untuk kita menjalankan promosi bukan sahaja di Eropah,” kata beliau.