Bantuan bukti Kelantan tidak amal politik dendam

fadli shaari
RAKAMAN tahniah kepada Kerajaan Negeri Kelantan yang walaupun berdepan dengan himpitan kewangan tetap berusaha untuk menyampaikan bantuan khas kepada Kerajaan Pulau Pinang ekoran banjir besar yang melanda negeri tersebut bermula dua hari lepas. Ia sekali gus mengesahkan bahawa kerajaan Kelantan sama sekali tidak berpijak di atas politik dendam dan emosi secara membabi buta.
 
Pastinya jika mahu, boleh sahaja bantuan disalurkan melalui pelbagai agensi di bawah milik PAS yang telah bergerak sejak awal untuk turun membantu dari seluruh negara. Namun, kerana setiap rumah ada pintunya, adat bertamu sudah tentu tuan rumah dihulur salam. Jauh sekali melangkah masuk melalui jendela apatah lagi membawa keluar anak orang tanpa pengetahuan bapanya!
 
Hari ini, Kelantan membuktikan, bantuan melalui Kerajaan Pulau Pinang selaku kerajaan negeri ialah satu tanda bahawa kemanusiaan ini tidak ada batasannya. Seruan pimpinan PAS agar ideologi politik diketepikan dalam menghadapi tragedi ini ialah seruan berbentuk realiti. Ia bukan manis mulut, masam di hati. 
 
Tahniah sekali lagi kepada kerajaan Kelantan, masa ini ialah masa untuk kita bersama membantu meringankan beban. Walaupun mungkin ada batu pernah dilempar, biarlah buah dihulur balas. Kerana kasih sayang sesama manusia tiada sempadan garisnya, kita hadir dengan penuh dada yang terbuka.
 
Mari bantu Pulau Pinang.
 
USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
6 November 2017 | 17 Safar 1439 – HARAKAHDAILY 6/11/2017
Advertisement