Guru kontrak JAIS tidak diserap secara automatik

KERAJAAN Negeri Selangor tidak memberikan jaminan terhadap guru-guru kontrak di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk diserap ke jawatan tetap.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pelantikan ke jawatan tetap melalui proses temuduga SPA bukan serapan dan ia juga bergantung kepada waran perjawatan JPA.

Menurut beliau, jumlah guru-guru tetap DG 29 dan DG 52 seramai 1,028 orang manakala guru-guru kontrak seramai 486 orang.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini kerajaan negeri menetapkan tiada proses serapan guru-guru tersebut daripada jawatan kontrak ke jawatan tetap.

“Kerajaan Negeri melalui JAIS menggalakkan semua guru-guru kontrak mengikuti program perguruan untuk proses menaiktaraf guru-guru memiliki diploma Pendidikan sama ada di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan berhubung tindakan kerajaan negeri terhadap guru-guru kontrak daripada Adun Sabak – PAS, Ustaz Sallehen Mukhyi di sesi soal jawab Sidang Dewan Negeri Selangor, 6 November.

Menurut beliau, kerajaan Negeri tidak memberikan apa-apa jaminan terhadap guru-guru kontrak untuk diserap tetap tetapi lantikan itu mengikuti prosedur yang diamalkan oleh kerajaan.

“Mereka ini berpeluang mencari jawatan tetap di mana-mana jabatan sama ada di Selangor dan Pusat,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2017