MBI urus pembersihan Sungai Klang

PEMBERSIHAN Sungai Klang telah diambil alih oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) dan melantik syarikat Hebat Abadi untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan sepanjang Sungai Klang.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, kerja-kerja penyelenggaran tersebut bermula dari sempadan negeri Selangor hingga ke muara Sungai Klang.

Katanya, kos siling bagi penyelenggaran Sungai Klang telah diberikan sepenuhnya kepada MBI melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor(UPEN) iaitu sebanyak RM24 juga dalam RMK-11.

Bagi sungai Langat pula tambah beliau, JPS menjalankan kerja-kerja penyelenggaran log boom sepanjang tahun dengan anggaran perbelanjaan RM300,000 setahun.

“Hanya terdapat satu unit log boom merentangi sungai Langat iaitu di daerah Kuala Langat,” katanya menjawab soalan daripada Adun Telok Dato – DAP, Loo Chee Heng di Sidang Dewan Negeri Selangor berhubung kos penyelenggaran Sungai Langat.

Beliau berkata, bagi perancangan jangka panjang pula pihak LUAS telah melaksanakan program Integrated River Basin Management (IRBM) bagi sungai Selangor (2008) dan sungai Langat 2005.

Katanya, objektif keseluruhan projek adalah merangkumi aspek perlindungan, pemuliharaan dan pengurusan bersepadu lembangan sungai.

“Kos penyelenggeran bagi Sungai Langat adalah sekitar RM300,000 setahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2017