Hampir 400 peniaga pindah ke pasar baru

WALAUPUN berdepan dengan hasutan pihak tertentu namun sejak seminggu lalu lebih 385 peniaga bersetuju dan menandatangani borang untuk berpindah ke Pasar Siti Hajar di Pasir Puteh.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sebahagian peniaga memulakan operasi di pasar baharu akhir Oktober lalu.

Katanya, kerajaan negeri menerima menerima maklum balas positif daripada peniaga yang gembira berniaga di tempat baru.

“Kita minta peniaga berpindah. Majlis Daerah Pasir Puteh juga sedia menerima pandangan mereka untuk kebaikan peniaga.

“Hampir keseluruhan pandangan peniaga dipenuhi seperti meluaskan ruang niaga dan memasang jeriji keselamatan,” katanya di Kota Bharu.

Sebelum ini sebahagian daripada 516 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar dan membawa kes ke mahkamah.

Mereka dipercayai didalangi parti politik tertentu yang mahu menjuarai isu tersebut. – HARAKAHDAILY 7/11/2017