Kerajaan Pulau Pinang tidak bersedia hadapi banjir

TASEK GELUGOR: Kerajaan Pulau Pinang langsung tidak bersedia menghadapi bencana banjir yang telah melanda negeri tersebut pada awal pagi Sabtu lalu.
 
Timbalan Pengarah Khidmat Malaysia, Dr Azman Ibrahim memberi reaksi tersebut pada lewat petang semalam ketika meninjau Pintu Air Sungai Jarak, di sini yang pecah teruk akibat limpahan air sungai.
 
“Pulau Pinang juga tiada pengalaman mengurus situasi pasca banjir berbanding negeri-negeri lain seperti Kelantan, Terengganu atau Pahang.
 
“Setakat ini, tidak ada sebarang bantuan dari agensi kerajaan, majlis perbandaran atau apa juga yang berkaitan dengan operasi pembersihan.
 
“Dan kerana itulah, Khidmat Malaysia meminta dari negeri-negeri supaya menghantar tenaga-tenaga sukarelawan untuk tujuan operasi pembersihan.
 
“Antara negeri yang memberi respons segera ialah Selangor, Pahang, Perak dan Terengganu juga telah bermesyuarat untuk turut menghantar petugas mereka,” kata beliau.
 
Menurut Dr Azman, di bahagian Seberang Prai masih ditenggelami air dan sekiranya keadaan cuaca baik untuk sehari dua ini, semua kediaman di kawasan tersebut akan bersedia untuk dibersihkan secara besar-besaran. – HARAKAHDAILY 7/11/2017
Advertisement