Kolaborasi Kelantan, Khidmat Malaysia bantu mangsa banjir

KEPALA BATAS: Bilik Gerakan Induk Operasi Banjir PAS telah menerima kehadiran delegasi Misi Bantuan Kemanusian Banjir Khidmat Malaysia dan wakil Kerajaan Negeri Kelantan di Markas PAS Pongsu Seribu, di sini semalam.
 
Delegasi berkenaan membawa sumbangan serta bantuan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa tempat dalam negeri ini, antara tumpuan ialah Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Kepala Batas.
 
Taman Bertam, di sini antara mencatatkan rekod terburuk setakat ini dengan jumlah kediaman yang terlibat mencecah sehingga 150 rumah melibatkan 800 penghuni.
 
Delegasi berkenaan telah diberi taklimat oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Bukhori Ghazali dan turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.
 
Sementara itu antara pimpinan dalam delegasi tersebut termasuklah Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia, Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mumtaz Nawi.
 
Antara barangan sumbangan yang diserahkan kepada PAS Pulau Pinang ialah makanan seperti roti dan biskut, set keperluan wanita termasuk telekung sembahyang yang kesemuanya berjumlah RM10,000 berserta wang tunai juga berjumlah RM10,000.
 
Sumbangan tersebut adalah bantuan awal yang seterusnya akan disusuli lagi dari masa ke semasa. – HARAKAHDAILY 7/11/2017
Advertisement