Negara macam tak berduit sangat

ENTAHLAH! Bajet Negara 2018 yang dibentang itu bajet sendiwarakah, bajet purbawara! Tetapi semua isi antara langit dan bumi hendak dibagi menerima kewangan kepada rakyat.

Advertisement

Seperti kaya dan pemurah sangat. Sejak mengenal saya akan apa yang dikatakan bajet itu kata-kata menteri tidaklah seindah rupa. Seolah-olah macam mendengar guruh di langit.

Dua minggu selepas bajet yang sedap didengar itu, pergilah saya ke hospital. Rutin sejak beberapa tahun ke belakangan ini berulang ke situ, beberapa bulan sekali bagi mendapatkan nasihat doktor dan membaharui ubat. Justeru kenyang dengan ubat itu. Alhamdulillah, dengan izin Allah terkawal gangguan kesihatan itu.

Harapan saya ia semuanya senang dengan semangat bajet yang terbaru itu. Tetapi saya terganggu dengan layanan terbaru hospital, ubat percuma bagi warga emas yang tidak berpencen, kais minggu makan minggu, ubat hanya dibekalkan bagi sebulan saja. Baharuilah ia bulan demi bulan.

Mula saya berulang ke situ ubat dibekal untuk dua bulan. Rayuan hospital itu jauh dari rumah, orang kurang sihat payah ke situ jika tidak dihantar, yang hendak menghantar pun payah kerana anak cucu semua bekerja, jalan macet, pakir payah, maka mengizin pegawai farmasi membekalnya empat bulan.

Setahun lalu kemurahan itu diketat. Untuk dua bulan tetap. Rayuan ditiadakan. Ubat yang dua jenis sekali makan ditukar dengan sebuji sekali makan. Kata doktor kerajaan kurang duit terpaksa sesuaikan ubat dengan keperluan penyakit supaya berjimat.

Fahamlah saya kerajaan tidak berduit. Bukan ikan kembung, minyak masak, tepung dan teh tarik saja melambung, ubat-ubatan pun terpaksa dicatu. Kebimbangan semua tentang kuat kuasa GST dulu ialah layan perkhidmatan perubatan akan terjejas. Sejak musim GST inilah berlaku catuan ubat-ubatan.

Saya ke hospital kali ini dengan semangat baru atas janji bejet itu, percaya senanglah kita sekali ini. Umumnya janji bajet itu berkuatkuasa serta merta. Rupanya janji itu belum sampai ke kaunter farmasi hospital.

Patutnya limpahan bajet mula terasa, tapi yang terasa layanan perubatan mulai memayahkan. Apakah ia terus begitu dengan demi, demi dan demi kian payahnya?

Macam terasa sedap bajet itu dengan sedapnya janji skim cepat kaya atau pasaran pelbagai aras. Sebagai mana sedapnya janji skim cepat kaya, seolah demikianlah sedapnya janji bajet. Jika bajet yang terbaru itu disangka ibu segala bajet, takut janji bajet itu jadi ibu kepada propaganda skim cepat kaya.

Tak sukanya saya ke hospital itu sekarang, bukanlah kerana di situlah berkumpul pasukan malaikat maut, tetapi sulit dan lecehnya urusan mengambil ubat dengan segala masalah yang dihadapi oleh hospital dengan alam sekitarnya.

Mungkin ziarah oang sakit di hospital berbeza dengan ulang alik setiap bulan untuk mengambil ubat. Di tepi katil pesakit sedia 70,000 malaikat menunggu kedatangan pelawat setiap masa mendoakan keampunan bagi penziarah. Sekalipun masa ziarah itu sekitar antara lima dan sepuluh minit, tetapi janji rahmat yang Allah sediakan bagi menggugurkan segala dosa wajar direbut.

Walaupun kepayahan dan leceh berulang unk mengambil ubat, bukan  kerana jumpa doktor, adalah satu ujian kesabaran, tetapi membanyak dan mengacapkan ujian kepada pesakit luar oleh kereajaan dan hospital tentulah bukan suatu yang disuruh.

Adalah ok bagi ujian kesabaran sesekali sekala; dua bulan atau tiga bulan sekali, tiap-tiap bulan adalah mendera. Si sakit tidak wajar didera. – HARAKAHDAILY 7/11/2017