Kerajaan Negeri arah Maahad Tahfiz Selangor laksana DPTN

KERAJAAN negeri menekankan supaya Maahad Tahfiz di Selangor melaksanakan dasar pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) seperti kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan kurikulum Tahfiz MITS.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bantuan Sekolah Agama Rakyat melalui exco Pendidikan daripada 2009 sehingga 2016 sebanyak RM6 juta setahun.

Katanya, pada tahun 2017 pula dinaikkan kepada RM9 juta manakala pada tahun 2018 dinaikkan kepada RM10 juta.

“Maahad Tahfiz Negeri (MITS) diberi peruntukan baikpulih pada tahun 2017 sebanyak RM2 juta manakala pada tahun 2018 RM2 juta.

Peruntukan Tahfiz Persendirian baikpulih pada tahun 2017 sebanyak RM1.6 juta, 2018 berjumlah RM2 juta,” katanya dalam sesi soal jawab Dewan Negeri Selangor.

Tambah beliau sejumlah RM12 juta untuk membina dua bangunan baru Maahad Tahfiz Persendirian iaitu satu di Kuala Selangor dan satu di Kuala Langat.

Kerajaan Negeri juga kata beliau memberi peluang kepada pelajar Tahfiz Persendirian untuk mengambil peperiksaan SPM.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan Negeri melalui Unisel telah mempunyai program `fastrack’ untuk peperiksaan SPM khas kepada para pelajar tahfiz dari sekolah Persendirian.

Katanya, kerajaan Negeri akan memantau perjalanan dan keadaan infrastruktur sekolah Maahad Tahfiz Persendirian di Selangor melalui Sektor Pengurusan Naziran JAIS dan Unit Pendidikan Islam Daerah. – HARAKAHDAILY 8/11/2017