Misi menyelamatkan Felda

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani, Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasulullah S.A.W dan seluruh kaum keluarganya serta para sahabatnya.

Advertisement

Alhamdulillah, sekali lagi kita berada di lembaran akhbar Harakah edisi 2296. Kali ini edisi beberapa minggu selepas pembentangan Bajet 2018 dan selepas dua kali kenaikan harga minyak berlaku sepanjang dua minggu lalu.

Tanggal 6 November, PAS dan Gagasan Sejahtera yang dianggotai Parti IKATAN membawa memorandum kepada pihak tertinggi dalam pengurusan dan pentadbiran Felda. Alhamdulillah dapat bertemu dengan Tan Sri Shahrir Samad sendiri.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Di kesempatan itu, pelbagai soalan dan cadangan dikemukakan oleh PAS melalui Timbalan Presiden, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan ditambah dengan pembentangan kes oleh beberapa anggota rombongan termasuk IKATAN dan NGO Generasi.

Isu terbesar yang membelenggu Felda sejak beberapa tahun lalu akhirnya diakui sendiri oleh Shahrir di mana pada awal beliau menerajui selepas menerima baton dari Tan Sri Isa Samad, wajah Felda sangat negatif di mata umum, apatah lagi segala skandal dan kemelut terdedah di zaman Isa menerajuinya.

Sebaik mengambilalih, Shahrir cuba membawa satu persepsi lain kepada Felda kerana mahu melihat Felda kembali kepada asasnya iaitu hasrat Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semasa ianya dirintis. Memberi tanah dan peluang kepada warga miskin memilikinya dan Felda adalah wadahnya.

Namun selepas menjadi konglomerat yang sangat terkenal dalam sektor perladangan, kemasukan Isa Samad mencetus pelbagai situasi yang kurang enak didengar.

Pada awalnya, mereka  menggunakan segala sumber mereka menyakinkan warga Felda cadangan penyenaraian Felda ke BSKL akan mengubah kehidupan warga Felda kepada golongan yang berpendapatan tinggi seperti mereka di negara maju. Laungan ini masih terngiang di telinga kami apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib sendiri yang melaungkanya pada awal tahun 2012.

Agenda penyenaraian Felda melalui FGV menjadi agenda utama pelantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda. Tahun pertama Isa telah menyejuk bekukan 37 pegawai kanan Felda yang tidak setuju atau memberi pendapat berbeza dengan kehendak ini.

Menurut aktivis Felda, Naraza Muda, tahun 2012 menyaksikan FGV disenaraikan dengan dan Koperasi Permodalan Felda disingkirkan dari Felda Holding setahun kemudian. KPF yang menguasai 51 peratus ekuiti dalam Felda Holdings Berhad (FHB) telah ditendang keluar dari Felda apabila perwakilan dari kalangan peneroka bersetuju menyerahkan 112,199,999 kepada Felda Global Venture Holdings Berhad (FGVH) dengan kaedah mengangkat tangan tanpa melalui penerangan dan taklimat khas berkaitan. Sejarah hitam ini berlaku pada 27 Oktober 2013 jam 10 pagi di Dewan Banquet Menara Felda.

Penyingkiran KPF dari dari menguasai FHB dengan 51 peratus pegangang saham yang sebelum ini menjadi kebanggaan peneroka selama ini mengejutkan peneroka setahun selepas itu apabila bonus dan dividen yang sebelum ini 17 peratus dibayar kepada mereka turun mendadak selepas itu. Sehingga beberapa tahun hanya 10 peratus sahaja dibayar. FGV telah mengambil alih semua kepentingan 112,199,999 unit saham bersamaan 51 peratus dengan nilai yang sangat tidak munasabah iaitu RM2.2bilion ataupun RM19.61 sesaham.

Peneroka yang hanya diberi pemilikan 800 unit saham FGV yang bernilai RM3,560 disyaratkan membuat pinjaman bank untuk membiayai saham ini. Dengan jaminan pegangan hanya setahun sahaja peneroka dijanjikan pulangan yang membolehkan mereka menjadi kaya-raya selepas itu.

Setelah beberapa tahun saham FGV gagal menyerlah dan terpaksa dikeluarkan dari senarai papan utama kerana kejatuhan melepasi had untuk kekal di papan utama bursa. Bila nilai pinjaman tidak mampu ditebus atau dilangsaikan dengan nilai semasa saham, pihak kerajaan telah mengambil alih pinjaman ini dari bank untuk meredakan kemarahan peneroka Felda. Pengambilalihan ini bukan percuma, peneroka terpaksa memotong pendapatan mereka selama 60 bulan dengan kadar RM50 sebulan.

Bila hampir dengan pilihan raya kata Naraza, pada Sambutan Hari Peneroka di Putrajaya baru-baru ini, Perdana Menteri telah menawarkan inisiatif antaranya penghapusan hutang pinjaman saham ini dan beberapa inisiatif lagi sebagai halangan undi peneroka tidak terarah kepada pembangkang sebagai protes tidak puas hati prestasi dan isu membarah terhadap Felda dan FGV.

Tindakan-tindakan lain seperti penjualan aset di luar negara juga menjadi peristiwa tragis bagi Felda dan FGV. Selepas Isa ditendang dari Felda, Isa dibawa ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), dan kemudiannya dia ditaha  SPRM untuk siasatan.

Hingga kini kesnya masih senyap dan tiada perkembangan, namun dalam masa yang sama, Shahrir memberi jaminan bahawa siasatan kes membabitkan siapa sahaja tidak akan beliau campur tangan.

Apakah jaminan ini akan membawa Felda ke penyelesaiannya, maka PAS dan Gagasan Sejahtera akan terus memantau perkembangannya, kerana Felda antara entiti terbesar yang harus dilihat isu-isunya apatah lagi kegemilangannya sebelum ini terencat selepas kemasukan Isa Samad.{/mprestriction}