Pertandingan banyak penjuru bukan aneh

PERTANDINGAN lebih dua penjuru bukan lagi perkara asing ketika pilihan raya umum di negara ini, biarpun ia seolah-olah diberi gambaran menakutkan.

Advertisement

Malah Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Selambau, Kedah pada 2009 mencatatkan sejarah apabila berlaku pertandingan 15 penjuru.

Barisan Nasional diwakili Datuk S. Ganesan manakala PKR pula S. Manikumar. Mereka dicabar 13 calon Bebas. Kemenangan berpihak kepada PKR.

Begitu juga Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, beliau pernah berdepan tiga penjuru di Dun Puteri Wangsa pada PRU13 lalu.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Ketika itu beliau berdepan dengan MIC yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan calon Bebas.

“Alhamdulillah PAS menang pada pilihan raya tersebut biarpun berdepan pertandingan tiga penjuru. Saya lawan MIC dan calon Bebas.

“Begitu juga pada PRU tidak lama lagi biarpun berlaku pertandingan tiga atau empat penjuru PAS masih ada peluang Insya-Allah,” katanya pada ceramah di Kampung Tanjung Nisan Empat, Kuala Terengganu malam Ahad lepas.

Menurutnya juga PAS tetap dengan prinsipnya tidak menggadai dasar Islam sekali pun berdepan pertandingan banyak penjuru pada PRU ke-14.

Kata beliau juga biarpun Pakatan Harapan mengkritik namun PAS tetap mempertahankan prinsipnya.

“Berkat istiqamah ahli-ahli dan pimpinan PAS Alhamdulillah tiada parti politik di Malaysia hari ini yang agak selesa bagi menghadapi PRU 14 kecuali PAS.

“Suasana yang kondusif buat PAS. Parti lain semuanya gelisah. BN dan Pakatan Harapan gelisah,” katanya.

Beliau juga menjangka peluang PAS di Terengganu begitu cerah untuk mengulangi kejayaan 1999 dan 1959.

Menurutnya, sekiranya penyokong Umno dan pengundi atas pagar memilih PAS pada PRU 14, peluang parti itu begitu cerah.

“Mereka hendak tinggalkan Umno agak sukar dan hendak masuk PAS pula mungkin lambat, jadi langkah terbaik menangkan Islam,” katanya.

Turut berkongsi pentas pada ceramah itu bekas Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Klang, Wan Asshima Kamaruddin, Pengarah MTD Bandar, Ustaz Ahmad Shah Mohamad dan Ketua Pemuda PAS Kuala Terengganu, Mohd Azrin Mohd Arif. {/mprestriction}