Ustaz Mat Iraq meninggal dunia

BEKAS Ketua Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Datuk Muhamed Daud Iraqi meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia jam 6.42 petang tadi.

Advertisement

Beliau merupakan pakar Fiqh Mazhab berkaitan perbandingan agama.

Ketika belum diserang angin ahmar beliau merupakan antara ulama yang sering menjadi rujukan termasuk Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Malah beliau dilantik sebagai anggota Exco yang bertanggungjawab hal ehwal agama selepas menang Dun Lundang (Demit).

Bagaimanapun beliau terkena angin ahmar dua kali sehingga menghadapi masalah untuk bertutur.

Ustaz Mat Iraqi mendapat Pendidikan awal di Pondok Tok Kenali selama 13 tahun (1953 – 1959).

Beliau belajar di Maahad Muhammadi Merbau dari kelas 6 hingga kelas 9 (1959- 1967), pernah menjadi pelajar terbaik di peringkat sekolah.

Pada tahun 1963 beliau menjadi guru agama di Sekolah Kebangsaan Mentera. Tahun 1964 beliau  menyambung pelajaran di Universiti Baghdad di bawah biasiswa Kementerian Waqaf Iraq yang diuruskan Al Fadhil Tuan Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat ketika itu).

Di Iraqa beliau mendalami Kuliah Syariah Dan Bahasa Arab. Beliau antara 10  pelajar Malaysia yang telah mendapat biasiswa ini. Selain beliau ialah bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Syukri;  Mursyidul Am PAS, Ustaz Hasyim Jasin; bekas pensyarah UM, Ustaz Abd Rahim Mat Zain; Ustaz Dahlan Perlis; Prof. Abdullah Kasban (UTM).

Pada tahun 1968, beliau pulang ke tanah air dan mengajar di Sekolah Yaakubiah Lundang.

Pernah menjadi Pensyarah Yayasan Pengajian Tinggi Negeri Kelantan (YPTNK) Nilam Puri pada 1970 hingga April 1981.

Seterusnya menjadi Pensyarah UM dari April 1981 hingga 1991.

Beliau kemudiannya diamanahkan oleh Kerajaan negeri Kelantan sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Yayasan Islam Kelantan dari tahun 1991 hingga 1994.

Penglibatan beliau dalam politik secara langsung ialah pada tahun 1994 apabila dipilih sebagai calon PAS di dalam pilihanraya Kecil Lundang 1994.

Dilantik sebagai ahli mesyurat Kerajaan (Exco) pada tahun 1995 hingga 2004 dan pernah menjawat beberapa portfolio iaitu Pengerusi J/k Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan,
Pengerusi J/k Kerjaraya Negeri Kelantan dan Pengerusi J/k Pembangunan Islam, Belia dan Penerangan. – HARAKAHDAILY 8/11/2017