Dua tokoh Al-Quran ‘hilang’ serentak

HANYA selang beberapa minit petang semalam rakyat Kelantan kehilangan tokoh ulama yang alim dalam ilmu al Quran.

Advertisement

Datuk Mohamed Daud Iraqi meninggal dunia jam 6.42 petang di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, manakala Tuan Guru Abdullah Daud al-hafiz pula meninggal dunia 6.45 petang di Rantau Panjang.

Ustaz AbdullahAllahyarham Ustaz Abdullah merupakan Mudir Tahfiz Darul Nisa’ Kampung Dangar Rantau Panjang. Beliau meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung.

Jenazah Ustaz Mohamed Iraqi disembahyangkan di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian jam 9 pagi tadi diimamkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, timbalannya, Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dan anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim.

Manakala solat jenazah Ustaz Abdullah diimamkan anak sulungnya Ustaz Muhammad Amin pada jam 11 malam tadi di masjid Banggol Kulim.

Turut menziarahi jenazahnya Menteri Besar, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Menteri Besar, Mohd Amar, wakil-wakil rakyat dan Mudir Pondok Gual Dalam. Tuan Guru Abdullah Yusof.

Ustaz Ahmad berkata, kehilangan Ustaz Mohamad Iraq amat dirasai sekali bagi pendokong Islam di seluruh negara.

“Allahyarham banyak memberi pandangan terutamanya berkaitan fatwa-fatwa mengikut keperluan semasa.

“Arwah mampu memberi fatwa dengan kemampuan ilmunya biar pun beliau bukan seorang mufti. Tarafnya sama dengan mufti.

“Ketika berada dalam saf kerajaan kita banyak merujuk kepadanya bagi menyelesaikan masalah berbangkit berkaitan hukum agama,” katanya selepas menghadiri solat jenazah di Masjid Sultan Ismail Petra.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi pula berkata, suatu kehilangan besar kepada perjuangan Islam di negara ini.

Katanya, arwah seorang yang pakar dalam perundangan Islam dan hukum fiqah yang sentiasa menjadi rujukan.

“Bahkan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz pun sebelum ini banyak merujuk kepada Ustaz Muhamad Iraq berkaitan agama,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2017