Felda: Siasatan perlu bebas ‘tangan ghaib’

UIA01

SIASATAN kes Felda diharapkan bebas daripada sebarang gangguan tangan-tangan ghaib.

Advertisement

Menurut Naib Presiden PAS Idris Ahmad, terkini siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah berkaitan pembelian Hotel Kensington, London oleh Felda.

“Perkara ini mungkin agak memakan masa namun kita berharap agar ia dapat diselesaikan. Lebih-lebih lagi ini adalah soal institusi golongan kurang berkemampuan yang perlu diselesaikan dengan segera dan baik,” kata beliau kepada Harakah usai beliau bersama Gagasan Sejahtera menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad di Menara  Felda, 6 November lalu.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Menyentuh isu siasatan bekas Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang sepatutnya dibawa ke muka pengadilan, Idris turut menyatakan kekesalannya apabila individu seperti Isa Samad dipindahkan ke Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula.

“Saya percaya rakyat pasti tertanya-tanya apakah isu yang berlaku antara Perdana Menteri Najib Razak dan Isa Samad ini sehinggakan beliau tidak dipecat daripada agensi-agensi sehinggalah siasatan dilakukan terhadap Felda. Sedangkan apa yang berlaku dalam Felda pada hari ini adalah berpunca daripada kemasukan beliau; yang memporak-perandakan pengurusan serta perjalanan Felda,” jelas beliau.

Di samping itu Ustaz Idris turut menyatakan rasa janggal apabila Isa Samad kemudiannya dilantik menjadi Pengerusi SPAD, kerana ia merupakan agensi penting terutamanya dalam menjaga keselamatan pengangkutan dalam negara.

“Secara tiba-tiba individu seperti ini diletakkan di tempat tersebut. Ia menjadikan rakyat semakin tertanya-tanya apakah perkara yang menjadi rahsia antara Najib dan Isa sehinggakan beliau tidak boleh hendak mengambil satu tindakan tegas terhadap Isa. Apa hebatnya Isa daripada hampir 4 juta orang ahli Umno sehinggakan tidak boleh lantik di kalangan mereka itu selain daripada Isa Samad?” bidas beliau lagi.  

Sedangkan tambah Idris, umum mengetahui rekod Isa Samad di Felda sehingga jawatannya terpaksa digantikan oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

“Oleh yang demikian memorandum telah dihantar oleh PAS pada 6 November lalu memohon supaya isu Felda ini diselesaikan. Dalam pertemuan tersebut Tan Sri Shahrir memberitahu bahawa beliau sendiri memberikan kerjasama kepada SPRM untuk menyiasat pejabatnya secara terbuka,” kata Idris.{/mprestriction}