HORAS: 190 juta liter air sehari walau belum siap

PROJEK HORAS 600 (HORAS) berjaya menghasilkan air tambahan sehingga 190 juta liter sehari (JLH) untuk keperluan empat Loji Rawatan Air (LRA), walaupun ia belum siap sepenuhnya.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, loji berkenaan adalah LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSPP2, SSP3 dan Rantau Panjang.

Beliau berkata HORAS juga berperanan mengawal dan mengurangkan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi.

“Kejayaan HORAS membantu masalah air adalah sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembinaannya.

“Pelaksanaan HORAS ini menjadi rujukan negeri lain termasuk Melaka, Kelantan, Johor dan pelbagai badan bukan kerajaan untuk melihat bagaimana ia berjaya menyelesaikan masalah kekurangan sumber bekalan air,” katanya semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz berhubung kejayaan HORAS di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau yang juga ADN Taman Templer berkata, HORAS masih diperlukan sementara menunggu pembangunan LRA Langat 2 yang dijangka siap pada 2019.

“HORAS diperlukan untuk berfungsi sebagai sumber air mentah di Selangor memandangkan bekalan air LRA Langat 2 dirangka untuk menampung permintaan di kawasan berbeza dari kawasan agihan Skim Sungai Selangor.

“Bekalan air dari LRA Langat 2 juga tidak menampung permintaan semakin meningkat di kawasan pembangunan baru seperti Elmina dan Kwasa Land yang akan terus mendapat bekalan dari Skim Sungai Selangor,” katanya memetik laporan SelangorKini.