Perbicaraan awam: SPR sebelahi ‘OKB’

ORANG Kena Bantah (OKB) tidak hadir sepanjang siasatan awam diperdengarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 30 Oktober lalu, namun keputusan itu berpihak kepadanya.

Advertisement

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ustaz Ariffin Deraman berkata, Perlembagaan Persekutuan Bahagian 8 Perkara 119 menjelaskan kelayakan pemilih mesti bermastautin dalam satu kawasan pilihan raya.

Katanya pada sesuatu siasatan awam sepatutnya OKB hadir, sebaliknya tidak dipanggil SPR sejak bantahan pada suku pertama lagi.

“Apa yang berlaku sekarang sejak suku pertama lagi OKB langsung tidak hadir. Daripada 85 orang yang kita bantah hanya seorang sahaja OKB hadir.

“Tetapi, malangnya apabila siasatan awam itu diadakan oleh SPR, banyak bantahan yang PAS buat gagal,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu semalam.

Dakwanya, tindakan SPR itu secara jelas menggambarkan badan berkenaan mengadakan konspirasi dengan Umno. – HARAKAHDAILY 9/11/2017