Selangor cadang tambah sekolah agama negeri

SELANGOR bercadang menambah bilangan sekolah agama menengah (SAM) di seluruh negeri memandangkan wujudnya keperluan penambahan itu.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu, Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, hal itu kerana 23 sekolah sedia ada tidak dapat menampung pertambahan penuntut, lapor SelangorKini.

“Walau bagaimanapun, pembukaan sekolah agama menengah baru tidak dapat dilaksanakan (secara terus) kerana penyediaan jawatan guru SAM membabitkan kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2018 di Dewan Negeri Selangor (DNS), petang semalam.

Beliau juga memaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bercadang menambah Kafa Menengah yang kini beroperasi di sekolah rendah agama (SRA).

Menurutnya, pertambahan semasa itu juga bakal memberi manfaat untuk meningkatkan jaringan pendidikan sekolah agama di Selangor.

“Kalau ada gabungan dan persetujuan, pertambahan sekolah jenis ini boleh dibuat jika wujud kelulusan di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri untuk memberi pelepasan bagi membolehkan SRA dibuat di peringkat menengah,” katanya.