Bantuan Nelayan bukti kerajaan Selangor prihatin

KERAJAAN Negeri telah meluluskan wang berjumlah RM5 juta bagi memberi bantuan peralatan nelayan antaranya jaring, jaket keselamatan dan sampan kepada 333 orang nelayan.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, manakala enjin tidak diberikan lagi sejak tahun 2016 memandangkan kos satu unit membeli enjin sampan amat tinggi.

Menurut beliau, bantuan tersebut bagi memastikan bekalan sumber marin tidak terputus kerana golongan nelayan menjadi pembekal kepada salah satu sumber proten kepada rakyat.

Dalam sesi soal jawab lisan dari Adun Sekinchan-DAP, Ng Suee Lim katanya, syarat utama yang ditetapkan adalah setiap nelayan mesti merupakan nelayan yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan Selangor.

Beliau berkata, ini kerana hanya nelayan yang berdaftar sahaja diperakui sebagai nelayan yang menjadikan tangkapan ikan sebagai sumber pendapatna utama keluarga.

“Melalui kaedah tersebut setiap nelayan yang menerima bantuan peralatan akan dipantau secara berkala iaitu sekurang-kurangnya sekali setahun iaitu ketika permohonan memperbaharui lesen nelayan dan juga melalui pemantauan oleh Jabatan Perikanan Selangor di jeti nelayan dengan kadar 2 kali setahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2017