Datuk Seri Nizar dan PAN jangan cepat bersorak

BEBERAPA orang kawan meminta komen saya mengenai keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, D Sunita Kaur Jessy, yang, hari ini, memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Razman Zakaria, membayar RM200,000 kepada Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, kerana kenyataan Haji Razman yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian pada 2 Jun 2015 bertajuk “Pendekatan Nizar mirip DAP”.

Advertisement

Permintaan komen ini dibuat di atas dua sebab. Sebab pertama ialah kerana intipati kes ini dikatakan sama dengan tuntutan saman RM5 juta yang dibuat oleh Pengerusi PAN Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, terhadap saya kerana mengaitkan beliau dengan DAP. Sebab kedua pula ialah kerana syarikat guaman yang mewakili Datuk Seri Mohammad Nizar dalam kes ini turut mewakili Datuk Dr Mujahid dalam kes saya.

Saya telah mendengar penjelasan peguam bela Datuk Seri Mohammad Nizar tadi bahawa “the main reason for the court to rule for Datuk Seri (Mohammad Nizar)” adalah “the defendant has failed to prove that the words uttered by him is not defamatory” di mana “in both defences that he set up (fair comment and justification) he failed to produce evidence and to support whatever he said”, dan “the defendant didn’t produce any witness”.

Saya juga telah membaca kenyataan Haji Razman yang tersiar di dalam akhbar Sinar Harian pada 2 Jun 2015, di mana beliau telah dipetik secara langsung berkata begini:

(1) “PAS mendokong Melayu, Islam dan Sultan tetapi Nizar seolah-olah memandang enteng dan kekal komited dengan perjuangan DAP sebagai parti yang mendokong pendekatan negara sekular”.

(2) “Daripada terus mencemarkan imej parti adalah lebih baik beliau menyertai DAP, kita tak mahu dalam PAS ini dipenuhi dengan individu-individu yang bersifat oportunis dan membelakangkan perjuangan parti”.

Adalah jelas bahawa kenyataan Haji Razman ini agak umum dan memerlukan pembuktian tambahan yang jitu berbanding kenyataan saya yang sangat spesifik dengan khususnya mengaitkan kenyataan bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, pada 5 November 2013 mengenai pengharaman parti politik berasaskan kaum dan agama dengan kenyataan sama Datuk Dr Mujahid pada 23 Mei 2017 yang hingga kini tidak pernah beliau nafikan.

Kepada para pemimpin dan penyokong AMANAH yang kelihatan bersorak kegembiraan dengan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh ini, sukalah saya mengingatkan anda semua supaya jangan keterlaluan di dalam berbuat demikian kerana proses perundangan di negara ini membenarkan pihak yang kalah merayu, di mana masih ada kemungkinan bahawa keputusan Mahkamah Sesyen ini boleh diterbalikkan oleh mahkamah lebih tinggi.

Perlu diingati bahawa pada 28 Mei 2012 Datuk Seri Mohammad Nizar telah menulis di dalam laman twitter beliau tulisan-tulisan yang mempersoalkan tindakan Sultan Johor membeli nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 dengan harga RM520,000 begini:

(1) RM520,000 untuk nombor plate WWW 1, TAKKAN nak letak kat kereta Proton atau motor kut? Ramai lagi rakyat yang masih kais pagi makan pagi kais petang makan petang!

(2) RM520,000 boleh dibelanjakan membantu rakyat Melayu Johor yang masih ramai miskin serta memerlukan bantuan untuk keperluan hidup, bina 20 rumah PPRT!

Ekoran tulisan-tulisan beliau ini, Datuk Seri Mohammad Nizar telah dikritik teruk oleh TV3 dan akhbar Utusan Malaysia yang mendorong beliau menyaman kedua-dua media ini di mahkamah. Perlu diingati, dalam kes saman beliau ke atas TV3, beliau mulanya kalah di peringkat Mahkamah Tinggi sebelum keputusan itu diterbalikkan oleh mahkamah lebih tinggi. Jadi kemungkinan untuk Haji Razman menang dalam kes ini masih terbuka.

Perlu diingati juga bahawa, walaupun Datuk Seri Mohammad Nizar akhirnya menang dalam saman beliau ke atas TV3 dan akhbar Utusan Malaysia, dari segi moralnya beliau mengalami kekalahan yang teruk ekoran tindakan Sultan Johor menzahirkan, di dalam titah sewaktu merasmikan pembukaan penggal kelima sidang Dewan Undangan Negeri Johor ke-12 pada 14 Jun 2012, kemurkaan Baginda terhadap beliau ekoran tulisan-tulisan beliau tersebut.

Masih diingati bagaimana akhbar-akhbar utama negara menyiarkan dengan secara meluas titah Sultan Johor ini, dengan tajuk-tajuk muka depan berbunyi seperti “Sultan Johor murka terhadap Nizar” atau “Sultan Johor sifatkan Nizar ‘pemimpin berkudis’”:

“Baru-baru ini ada pemimpin politik yang secara terang-terangan mengkritik tindakan saya membida nombor pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Adakah dia lupa tentang adab Melayu atau sememangnya dia seorang yang jahil dan cetek akalnya? Janganlah cuba berlagak pandai jika tidak berilmu dan janganlah mengeluarkan kenyataan sesuka hati jika tidak tahu perkara yang sebenar. Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada berkata yang tidak baik? Kepada pemimpin seperti ini, nasihat saya, janganlah sibuk mencari kudis di kaki orang lain, sedangkan tokak di kaki sendiri tidak mampu diubati.”

Apakah menang di mahkamah dapat memadamkan ini? – HARAKAHDAILY 10/11/2017