Hanya 8 minit? PM perlu lebih bertanggungjawab

TEMPOH lapan minit Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada dalam sidang dewan rakyat, pada 9 November lalu, tidak berbaloi sama sekali, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ustaz Idris Ahmad.

Advertisement

Beliau berkata, sepatut beliau mendengar ucapan-ucapan perbahasan belanjawan 2018 yang dibentangnya sendiri pada 27 Oktober lalu.

“Beliau perlu berada bersama kami semua dan tidak boleh sekejap begitu sehaja kerana banyak perkara yang patut dibincangkan sepanjang belanjawan berlangsung seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan, Pendidikan dan sebagainya,” katanya kepada Harakah, hari ini.

Di Dewan Rakyat, 9 November lalu, dilapor hanya lapan minit, Najib berada di sana.

Perdana Menteri dikatakan menjawab soalan pada jam 10.04 pagi dan meninggalkan dewan pukul 10.12 pagi, kata seorang Ahli Parlimen.

Dalam pada itu Idris berkata, Najib perlu berada di Parlimen walaupun tidak sepenuhnya, beliau perlu memberi lebih masa bukannya setakat lapan minit sahaja.

Tegasnya beliau diminta memberi masa terhadap cadangan dan kritikan terhadap bajet 2018.

“Beliau pula sebagai Menteri Kewangan dan bajet yang dibentangkan itu melibatkan portfolio beliau sendiri,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya sebagai seorang Perdana Menteri beliau perlu bertanggungjawab dan mendengar apa yang dibahaskan oleh wakil dewan kerana bajet yang dibentangkannya melibatkan wang negara yang besar.

Perkara yang sama turut disuarakan oleh Senator Khairiah Mohamed.

Katanya, kehadiran beliau ke parlimen sangat penting. Tambahan pula, sidang kali ini merupakan, sidang terakhir bagi tahun 2017 dan terakhir untuk mesyuarat penggal kelima parlimen.

HARAKAHDAILY 10/11/2017