Pengundi luar mesti dahulukan kepentingan Islam

PENGUNDI Kelantan sanggup balik untuk mempertahankan kerajaan PAS Kelantan. Pengundi Terengganu yang berada di luar juga mesti buat demikian. Dahulukan kepentingan Islam dari yang lain.

Advertisement

Demikian ditegaskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dalam program Himpunan Anak Terengganu di Bangi petang tadi anjuran Badan Perhubungan PAS Terengganu dengan kerjasama Perantau Terengganu.

Tuan Guru juga mengingatkan hadirin yang menjangkau lebih 800 orang itu tentang kurniaan Allah kepada Terengganu di mana Islam datang lebih awal dari tempat lain. Batu bersurat menjadi tanda penting. Terengganu juga paling akhir menerima campur tangan Inggeris pada tahun 1928.

Terengganu paling akhir didatangi oleh PAS tapi paling awal menang selepas PRU pertama. Pemimpin PAS mengharapkan Johor kerana hampir dengan Singapura dengan sebab suasana ketika itu tetapi tidak berlaku.

Tok Guru juga mengingatkan agar bukan sahaja PAS yang menguasai politik tetapi juga mampu menguasai pegawai yang bersedia menjalankan dasar dan polisi yang dibawa oleh kerajaan PAS. Tok Guru mengulas perkara ini dengan merujuk kes Kelantan dan Terengganu yang pernah dimenangi oleh PAS sebelum ini.

Timbalan Pesuruhjaya 2, PAS Terengganu, Dr Alias Razak, membentangkan 15 manifesto PAS secara umum dan dialog diadakan yang turut dijawab oleh Tok Guru.

Hadir sama ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Haji Husin Awang, bersama seluruh kepimpinan utama PAS negeri Terengganu dan pimpinan PAS dari 8 kawasan di Terengganu serta perantau.

Di sebelah paginya diadakan kejohanan Futsal Piala Presiden Perantau di kalangan anak-anak Terengganu di luar Terengganu. – HARAKAHDAILY 11/11/2017