Adab bermajlis: Dilarang menunjuk-nunjuk dan bermegah

ANDAINYA seseorang itu berhasrat menjadi anggota masyarakat yang dihormati, hendaklah berusaha dengan cermat dan berhemat untuk menghindari tingkah laku yang tidak sopan dan tidak disenangi. Satu dari perangai yang tidak disenangi; ialah berbangga dengan kehebatan pakaian yang dipakainya, dengan sering menatap dan merenungnya.

Advertisement

Perbuatan tersebut dalam majlis seolah-olah sedang memperaga pakaian, sedangkan majlis itu perlukan perhatian serius. Sering memandang pakaian sendiri selain tidak menyenangkan mereka yang semajlis, juga menyebabkan dia hilang tumpuan kepada majlis tersebut. Dengan itu dirinya dianggap tidak menghormati majlis tesebut.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Islam melarang menunjuk-nunjuk dan bermegah, dengan kehebatan apa jua jenis pakaian dalam majlis. Kerana bercanggah dengan peranan pakaian mengikut sunnah, iaitu untuk melindungi tubuh khususnya aurat. Dari sudut ilmu jiwa bermegah dengan kehebatan pakaian, adalah suatu cara untuk melindungi kelemahan diri. Sama ada kekurangan dari sudut ilmu pengetahuan dan budi pekerti.

Satu daripda adab bermajlis hendaklah duduk tenang ketika berada di majlis, hendaklah dihindari sering berpaling ke kiri dan ke kanan dengan kerap. Selain bercanggah dengan adab majlis, jadi bukti tidak beri tumpuan kepada acara majlis itu. Boleh mengganggu pihak yang bertugas.

Jangan sering beralih tempat dan sentiasa bertukar hubungan dengan ahli majlis, sebentar menemui orang tertentu seketika beralih mendapatkan orang lain. Istiqamahlah pada suatu tempat dalam majlis, sama ada jumpa seseorang kerana hendak bertukar fikiran dan sebagainya. Kerap beralih tempat menunjukkan tiada ketenangan jiwa dan ketetapan fikiran.

Ikutlah panduan Tuhan melalui firman-Nya yang bemaksud ; “…Iaitu agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata dan agar orang yang hidup itu hidupnya dengan keterangan yang nyata (pula)…” (Sebahagia ayat 42 surah Al-Anfal). Ertinya, orang yang binasa di neraka tidak sepatutnya sesal, kerana dengan nyata hujjah alasan yang diberikan oleh Allah SWT.

Demikian juga yang hidup bahagia di syurga, sewajarnya dia beryukur kerana hujjah dan alasan melalui firman Allah SWT telah nyata. Di antara adab ketika duduk dalam bermajlis jangan tunjuk situasi tidak selesa, lahir kegelisahan hingga sentiasa hendak bertukar tempat. Bertenang dan zahirkan kemesraan bersama ahli majlis yang lain.

Selain itu hendaklah waspada dari kebiasaan mematahkan dengan mematah bunyi jari jemari. Tabiat tidak mustahak itu sekadar suatu kebiasan yang boleh mengganggu orang lain. Segala yang dinasihatkan oleh Imam al-Ghazali itu tampak seperti perkara remeh. Hakikatnya umat Islam diajar agar tiada memenuhkan masa  dengan kegiatan yang tidak perlu, seperti membunyikan jari jemari itu.

Tazkirah Imam Ghazali itu sejajar dengan doa dalam solat “Assalamu alaina wa ‘ala ‘ibadillahis solihin”. Mohon supaya Allah SWT selamatkan umat Islam serta hamba-Nya yang solihin. Ertinya umat Islam di serata alam saling sayang menyayangi antara satu sama lain.

Mereka tidak hidup keseorangan di dunia ini, andai berjiwa Islam terasa ramai sahabatnya. Saling mendoa dalam solat dan diluarnya, dengan sebutan “Robbana” bererti, hai Tuhan kami, tidak dengan “Rabbi” hai Tuhanku. Selain itu ketika dalam majlis jangan leka dengan perbuatan tidak perlu, seperti mengulit janggut dan bermain cincin dijari, mencolek gigi serta memasukkan jari ke lubang hidung.

Guru sedang menasihati orang ramai, malangnya dia dilalaikan dengan perbuatan yang lagho (lalai) tanpa tujuan itu. Satu lagi perangai yang kurang sopan ialah kerap kali meludah terutama ketika bulan puasa. Anehnya jarang bersugi kerana takut batal puasa. Sedangkan bersugi itu sunat dan kerap meludah hukumnya makruh. Tidak wajar tinggal yang sunat sebaliknya melakukan yang makruh.

Jauhi perbuatan yang tidak enak didengar orang lain dengan ‘bergeriak,’ iaitu suatu usaha untuk mengeluarkan kahak di pangkal tekak. Jangan sekali kali menggeliat dan tidak wajar menguap di depan orang, dengan bunyi suara yang hodoh dan lain lain lagi. Pelbagai perbuatan tidak sopan yang dijelaskan oleh Imam al-Ghazali itu, meskipun kelihatan sebagai perkara kecil dan remeh.

Namun sebagai asas untuk menjaga peribadi dan akhlak kita, hingga orang lain terasa meluat melihat gelagatnya. Dengan menghindari pelbagai perbuatan tidak baik yang dijelaskan itu, supaya majlis berjalan dengan tenang dan lancar. Percakapan orang yang terlibat di majlis berkenaan jadi teratur dan sempurna.

Mencelah kata ketika orang sedang bercakap dalam majlis, bukanlah caranya bermajlis dengan orang ramai. Janganlah keadaan jadi riuh rendah seperti di pasar borong. Selesaikan seseorang bertutur kata, bergilir lepas seorang demi seorang.

Bercakap dalam majlis usah terlalu panjang berjela jela, biarlah perkataan tersusun dan teratur padat mempunyai nilai pebahasan dan matlamat pertuturannya. Adalah suatu bala kepada majlis jika ada yang bertutur dengan panjang lebar, tetapi tidak dapat difahami maksud tutur ucapannya oleh para pendengar. Lantaran menggunakan bahasa yang sukar difahami.{/mprestriction}