Hikmah banjir di P. Pinang kepada Pimpinan PAS, Unit Amal dan ARC

ALHAMDULILLAH banjir yang sedang melanda negeri Pulau Pinang baharu-baharu ini telah memperlihatkan rasa simpati, tanggungjawab semua pihak, malah telah menyerlahkan kesungguhan para pemimpin PAS di semua peringkat, bukan sahaja di peringkat pimpinan PAS Pusat, malah pimpinan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui oleh Datuk Bentara Ustaz Ahmad Yaakob yang telah meluluskan bantuan RM50K bagi menyelenggara musibah tersebut.

Advertisement

Di peringkat PAS Pusat pula, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengarahkan Jabatan Amal Malaysia agar dapat membantu musibah yang melanda negeri berkenaan. Begitu juga dengan dua Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Selangor yang masing-masing menyeru ahli-ahli PAS yang berkelapangan dapat ke sana untuk melicinkan usaha membaik pulih terutama Unit Amal dan lain-lain. Apa punca sebenar kejadian banjir yang memusnahkan negeri berkenaan kita serahkan kepada Allah SWT, kerana penulis yakin ramai yang sudah mengetahui insiden-insiden sebelum musibah itu menimpa {mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Namun bagi kita sebagai umat Islam semestinya reda terhadap apa yang berlaku, sama ada ia berupa ujian yang menyenangkan atau pahit untuk ditelan, kerana setiap ujian itu ada hikmah yang besar yang tidak semestinya manusia dapat menjangkaunya, apapun ia ujian untuk mengetahui sejauhmana keutuhan pegangan aqidah terhadap Allah, kita yakin bahawa Dia (Allah) tidak menimpakan ujian besar melainkan semuanya ada pada ilmu-Nya.

Sehubungan itu, Allah berfirman dalam ayat 2 – 3 surah al-Ankabut yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (2) Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”(3)

Firman-Nya lagi dalam ayat 2 surah al-Mulk maksudnya : “Dialah (Allah) yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”

Sementara dalam ayat 214 surah al-Baqarah pula, Allah SWT berfirman maksudnya : “Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).”

Dalam sebuah hadis disebut, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Apabila Allah SWT sayang kepada  hamba-Nya, maka Dia akan mengujinya.”

Ketiga-tiga ayat dan hadis yang tersebut di atas menggambarkan kepada kita selaku muslim, betapa Allah SWT tidak akan membiarkan kita hidup dengan sifar ujian atau tribulasi, malah kesemua kita akan menerima ujian mengikut kekuatan iman dan pegangan kita kepada agama-Nya, ia tidak lain adalah untuk mengetahui sejauhmana iman kita yang sebenar dan kita pura-pura beriman kepada-Nya.

Sesungguhnya tragedi banjir yang berlaku di negeri Pulau Pinang dan Selatan tanah air seperti Negeri Sembilan bukanlah satu perkara yang ditunggu-tunggu, namun itulah yang dikatakan takdir Allah mendahului kehendak manusia, kerana Dia sahaja Yang Maha Mengetahui hikmah di sebalik tragedi, mungkin ada yang tidak kena dengan iradat-Nya, namun apapun sabar dengan ujian itu adalah penawar terbaik bagi mengubati kemurungan dan keadaan tidak akan kembali pulih sebelum banjir jika melawan takdir-Nya.

Bagi yang tidak menerima atau ditimpa ujian, adalah diharap dapat menyumbang sesuatu sama ada dalam bentuk sokongan moral seperti meninjau lokasi tragedi dengan membantu meluangkan masa,  memberi tenaga dengan mengalih barangan keperluan yang rosak dan apa sahaja yang difikirkan perlu, atau dengan sokongan material dengan menyumbang wang ringgit untuk membeli barangan keperluan harian dalam tempoh ujian tragedi untuk membeli makanan, ubat-ubatan, pakaian dan lain-lain, sama kita berikan kepada mangsa-mangsa gempa bumi di tempat-tempat.

Syabas kepada semua yang terlibat dalam menghulur bantuan

Apa yang dapat kita saksikan menerusi media sosial, sarat berita yang memaparkan kesanggupan para pemimpin PAS tertinggi turun padang dengan mengharungi air dan sanggup berbasah semata-mata berniat untuk menyatakan sokongan moral, fizikal dan material dengan membantu mangsa banjir tanpa memilih bulu, kerana siapapun mereka adalah mangsa yang layak untuk dibantu apatah lagi dalam kalangan orang-orang tua, kanak-kanak, kaum wanita, sama ada ibu yang dalam pantang, ibu tunggal dan seumpamanya yang semestinya perlu dibantu.

Bagi mangsa, kehadiran para pemimpin PAS cukup mengujakan mereka, mereka berbesar hati kerana kehadiran itupun dianggap sebagai satu sokongan yang patut dihargai, tambahan pula kehadiran mereka membawa misi bantuan makanan, barangan keperluan harian, pakaian dan ubat-ubatan, kerana pada saat yang genting itu, suasana kemewahan tidak diperlukan.

Kita sedar bahawa ujian yang ditanggung oleh mangsa dan keluarga cukup besar seperti kerosakan harta benda terutama rumah dan segala isi di dalamnya, kereta, termasuk juga dokumen-dokumen penting yang terdiri daripada ijazah, sijil kelayakan tertentu di samping menanggung bebanan hutang selepas banjir dan sebagainya.

Proses pembersihan pula perlu mengambil masa yang agak lama juga untuk melakukan penambahbaikan terhadap hartabenda seperti yang telahpun di atas. Bayangkan kalau terdapat mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan yang mana gaji mereka dibayar berdasarkan kehadiran di tempat kerja, atau dengan kata lain bergaji hari, itupun terserah kepada budi bicara majikan yang menggajikan mereka. Justeru cukup besar ujian dan pengorbanan mereka ketika menghadapi ujian yang dilalui.

Penulis secara peribadi menyatakan jutaan terima kasih terutama kepada anggota-anggota Unit Amal Malaysia di semua peringkat pusat dan negeri, termasuk anggota ARC dan lain-lain yang telah menghulurkan bantuan ini termasuk membantu para pemimpin PAS khususnya dalam meringankan bebanan musibah yang ditanggung mangsa.

Hikmah ditimpa ujian

Para ulama bersepakat, bahawa hikmah yang boleh disimpulkan dalam ujian ini, antaranya :

1- Untuk mencapai pengabdian hakiki kepada Allah SWT.
2- Ujian yang menimpa umat Islam secara khusus, adalah untuk mematangkan mereka dalam kehidupan di muka bumi ini.
3- Bertujuan untuk menghapuskan dosa yang dilakukan oleh manusia.
4- Bertujuan untuk memperolehi pahala serta memartabatkan kedudukan mereka di sisi Allah SWT.
5- Dengan adanya ujian, ia memberi peluang kepada manusia untuk memikirkan akan segala kesalahan yang dilakukan pada diri sendiri dan orang lain di masa lampau.

6- Ujian merupakan satu pengajaran untuk kembali bertauhidkan kepada Allah.
7- Ujian juga mampu untuk menghilangkan rasa ego dalam diri dan menyediakan jalan untuk mendekati Allah.
8- Ujian ditimpakan ke atas manusia adalah untuk menyedarkan mereka akan kelebihan yang ada pada diri mereka setelah diuji.
9- Ujian juga berperanan untuk mendidik manusia menjadi matang dan mantap dalam segenap aspek kehidupan mereka.
10- Untuk mengenal kawan sebenar atau kawan yang berkepentingan, ia boleh didapati setelah adanya ujian daripada Allah.
11- Ujian juga mampu untuk mengingatkan manusia akan segala kesalahan sebagai persiapan untuk bertaubat kepada Allah.
12- Ujian mampu menyingkap hakikat sebenar dunia yang menjanjikan pelbagai tipu daya.
13- Ujian mampu untuk mengingatkan manusia akan kelebihan nikmat kesihatan dan kurniaan Allah.
14- Ujian menjanjikan kerinduan manusia untuk memasuki syurga Allah.

Persoalannya di sini, apakah kita sanggup melalui proses ujian seperti yang ditimpakan ke atas saudara-saudari kita yang sedang menghadapi ujian?, Jika diteliti dengan saksama, kita akan dapati bahawa apa yang ditegaskan Allah dalam ayat-ayat ujian itu adalah untuk menguji aspek keyajaan dalam diri manusia, bukan setakat berjaya dalam pilihan raya, malah berjaya mentadbir negara untuk mencapai status ‘Negara Baik dan Tuhan Maha Pengampun’ – maksud ayat 15 surah Saba’.

Semoga penglibatan para tenaga dalam kalangan anggota Unit Amal, Arternative Riding Club (ARC) di bawah seliaan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang sanggup melepaskan aktiviti hujung minggu yang sepatutnya disambut dengan ahli keluarga sepertimana biasa patut dipuji, kerana masih ada lagi dalam kalangan ummah ini mereka yang  menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. pada ketika yang cemas dan diperlukan bantuan mereka.

Sebagai hamba Allah yang pasrah terhadap sebarang bentuk ujian yang menimpa kita, marilah kita melakukan muhasabah diri dengan melihat apakah yang telah kita buat pada Islam, kalau selama ini kita jauh dari berpegang dengan Islam, kita dekatkan diri dengannya, kerana ia adalah milik Allah buat kita semua yang mesti tunduk bagi mencapai maksud hamba-Nya yang menatangnya bagaikan minyak yang penuh.{/mprestriction}