Kebajikan: Dapatkan maklumat tepat di akhbar rasmi

MASYARAKAT boleh mendapatkan maklumat tepat dan lengkap berhubung inisiatif berkebajikan dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor di akhbar rasmi, SelangorKini.

Advertisement

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan, Pertanian Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, akhbar milik kerajaan negeri itu memaparkan laporan tepat dan telus terhadap pentadbiran negeri, lapor SelangorKini.

“Kerajaan negeri banyak melaksanakan inisiatf berkebajikan, dan masyarakat boleh ambil maklumat dan fakta (tepat) itu di SelangorKini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Infratani Peringkat Daerah Dengkil, di Tapak Pasar Awam Dengkil, semalam.

Terdahulu, wujud penularan laporan tidak tepat yang dilemparkan media milik Umno, khususnya Utusan Malaysia terhadap pentadbiran negeri yang didakwa berunsur fitnah bagi memburukkan imej Kerajaan Pakatan di Selangor.

Susulan itu, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri mengarahkan semua jabatan dan agensi kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar di bawah Utusan Malaysia berkuatkuasa serta-merta.

Arahan itu dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 9 November dan ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya.