Larangan berhijab tidak hormati aurat muslimah

DEWAN Muslimat PAS Negeri Perak menggesa pengusaha-pengusaha hotel antarabangsa yang beroperasi di Malaysia agar menghormati amalan Islam yang menghendaki wanita Islam untuk menutup aurat secara sempurna agar hotel-hotel ini telah mengenakan syarat bahawa penyambut tetamu hotel yang berada di kaunter pendaftaran masuk hotel tidak dibenarkan mengenakan hijab seperti yang dilaporkan Malaysian insight.com, semalam. (Foto atas hanya hiasan)

Advertisement

NajihaKetuanya, Dr Najihatusalehah Ahmad berkata, keuntungan dalam industri perhotelan bukanlah terletak kepada cara pemakaian penyambut tetamu tetapi adalah atas perkhidmatan keseluruhan yang diberikan oleh hotel tersebut.

Menurutnya, jika dilihat kepada tahap kepuasan pelanggan hotel yang dilakukan secara atas talian yang dibuat oleh Agoda.com atau Booking.com, tiada komen dari pelanggan hotel menyatakan tidak puas hati kerana pemakaian penyambut tetamu, yang ada adalah bagaimana sikap keramahan, bersedia memberi bantuan atau penerangan yang diberikan kepada pelanggan hotel apabila memerlukan.

“Mutu perkhidmatan bilik-bilik penginapan dan kemudahan yang disediakan lebih menjadi keutamaan kepada pelanggan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kini, kata beliau banyak institusi pendidikan baik awam ataupun swasta menyediakan kursus-kursus perhotelan kepada lepasan SPM akan memberi peluang kepada anak-anak Malaysia untuk terlibat dalam industri perhotelan.

Paling dikesali, katanya jika pengusaha hotel berterusan mengenakan syarat larangan hijab kepada pekerja-pekerja hotel akan membantutkan impian lulusan bidang itu khususnya pelajar wanita muslim untuk bekerja sebagai penyambut tetamu di hotel-hotel besar.

“Saya ingin menyeru supaya pengusaha hotel-hotel di Malaysia supaya membawa suara rakyat Malaysia yang 65 peratus rakyatnya adalah agama Islam ke dalam persatuan mereka supaya mengecualikan amalan larangan tersebut ke atas hotel-hotel antarabangsa yang terdapat di Malaysia,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 12/11/2017